Rosli Ilham


Dungun: Polis mendapat perintah sambungan reman selama tiga hari lagi terhadap lima lelaki selepas dipercayai terbabit dalam kes meletupkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Dungun pada 5 September lalu.

Semua lelaki berusia 40-an itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Dungun kira-kira jam 9 pagi.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, perintah reman dikeluarkan Majistret Hazwanie Husain Bustari

mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Katanya, semua suspek berdepan siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana membuat atau memiliki bahan letupan.

"Sebelum ini, polis sudah mendapat perintah reman selama empat hari terhadap mereka dan kami terpaksa menyambung reman untuk siasatan lanjut, " katanya.

Pada 22 November lalu, semua suspek berasal dari Kedah, Perak dan Johor ditahan hasil risikan dan maklumat awam di kawasan Sungai Jerik, Maran, Pahang.

Kumpulan itu disyaki terbabit dalam kes meletupkan mesin ATM di Dungun membabitkan kehilangan wang tunai kira-kira RM260,000.

Turut sama dirampas ketika penahanan suspek ialah dua unit bahan letupan buatan sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 1:30 PM