Oleh Hayati Ibrahim


Putrajaya: Sebarang pembaharuan lesen memandu tamat tempoh boleh dilakukan di semua pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau agensi yang dilantik tanpa dikenakan kompaun.

JPJ dalam kenyataan berkata, pembaharuan lesen ini hanya tertakluk kepada lesen memandu yang tempoh tamatnya tidak melebihi tiga tahun.

"Pemandu kenderaan atau penunggang motosikal yang didapati memandu atau menunggang tanpa lesen memandu atau lesen memandu tamat tempoh akan dikenakan kompaun maksimum RM300.

"Jumlah ini kadar maksimum, namun jika pesalah menjelaskan kompaun dalam tempoh yang

ditetapkan, pengurangan bayaran ditawarkan," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi memberi penjelasan berhubung penyebaran risalah berkenaan kesalahan memandu tanpa lesen memandu yang sah dan tamat tempoh mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, JPJ ingin menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dan mempercayai sebarang mesej melalui media sosial dan aplikasi Whatsapp yang tidak mempunyai sumber sah.

"Jika ada sebarang kemusykilan, orang awam boleh merujuk terus kepada jabatan ini dan tidak turut serta menyebarkan salah faham itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 1:00 PM