Orang ramai membuat pembayaran saman di kaunter JPJ Wilayah Persekutuan. FOTO Arkib NSTP
Orang ramai membuat pembayaran saman di kaunter JPJ Wilayah Persekutuan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) mengutip RM3.85 juta hasil pembayaran saman antara 1 Ogos sehingga 15 Ogos berikutan pelaksanaan diskaun saman yang boleh dikompaun sebanyak 70 peratus.

JPJ dalam satu kenyataan hari ini berkata kutipan berkenaan adalah hasil transaksi membabitkan sebanyak 51,178 saman yang diselesaikan melalui pelbagai saluran antaranya kaunter JPJ, kaunter bergerak JPJ serta portal dan kios JPJ.

"JPJ negeri Selangor adalah yang tertinggi membuat kutipan iaitu sebanyak RM620,157 dengan 8,165 saman diselesaikan," katanya.

Menurut JPJ, jumlah saman tertunggak dan masih belum dijelaskan sehingga kini adalah sebanyak 2.4 juta dengan anggaran kutipan selepas pengurangan sebanyak RM170 juta.

Saman yang disenarai hitam pula adalah sebanyak 1.79 juta, kata JPJ.

Justeru, JPJ mengingatkan orang ramai supaya merebut peluang bagi mendapatkan pengurangan saman kompaun sebanyak 70 peratus berkenaan dan tidak menunggu sehingga saat akhir bagi mengelakkan sebarang kesulitan yang tidak diingini.

"Seperti yang diketahui umum, saman yang tidak dibayar akan disenaraihitamkan dan kesannya akan menimbulkan masalah ketika berurusan dengan JPJ seperti pembaharuan lesen memandu, lesen kenderaan motor, proses tukar hak milik serta lain-lain lagi," katanya.

Pengurangan saman kompaun JPJ yang akan berakhir pada 31 Ogos ini adalah bersempena dengan bulan kebangsaan dan selaras dengan tema Hari Kebangsaan 2020 iaitu "Malaysia Prihatin."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2020 @ 6:25 PM