Bangkok: Banjir yang melanda wilayah selatan Thailand menyebabkan 14 orang maut dengan pihak berkuasa mengisytiharkan kebanyakan daerah sebagai kawasan bencana.

Hujan lebat sejak seminggu lalu menyebabkan beberapa daerah termasuk lokasi pelancongan popular seperti Krabi, Koh Samui dan Koh Phangan terjejas.

Bencana itu turut menjejaskan beberapa penerbangan dan perkhidmatan feri.

“Seramai 582,343 penduduk dari 88 daerah terjejas dengan 14 mangsa dilaporkan maut,” kata Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan semalam.

Kata kenyataan itu, 11 wilayah di selatan negara itu diisytiharkan sebagai zon bencana bagi memudahkan penyaluran bantuan kecemasan.

Sekurang-kurangnya tiga penduduk dilaporkan hilang.

Di daerah Saiburi di wilayah Pattani, pasukan penyelamat mencari dua budak lelaki yang hilang selepas dihanyutkan banjir kilat.

Perkhidmatan kereta api di wilayah Nakhon Si Thammarat juga tergendala selepas landasan terputus akibat ditenggelami banjir.

Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan hujan lebat terus turun di wilayah selatan negara itu selama beberapa hari lagi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 9:29 AM