PENDUDUK Nakhon Si Thammarat terperangkap ketika ribut tropika Pabuk melanda kawasan mereka. -Foto AFP
PENDUDUK Nakhon Si Thammarat terperangkap ketika ribut tropika Pabuk melanda kawasan mereka. -Foto AFP
AFP

NAKHON SI THAMMARAT (Thailand): Hampir 30,000 penduduk tempatan dan pelancong berlindung di pusat pemindahan sementara di selatan Thailand, ketika ribut tropika Pabuk melanda wilayah terbabit, sejak semalam.

Kebanyakan pelancong yang terkandas dilaporkan berusaha keluar dari pulau pelancongan terbabit hari ini, ketika ribut tropika itu mula bergerak ke arah utara.

Pabuk yang bergerak pada kelajuan 75 kilometer sejam, membawa hujan lebat dan angin kencang ke selatan Thailand semalam, menjejaskan bekalan elektrik serta mengakibatkan banjir di beberapa kawasan.

Seorang nelayan disahkan terkorban di wilayah Pattani, awal pagi semalam, apabila ombak besar memusnahkan botnya, manakala seorang lagi nelayan dilaporkan hilang.

Pada masa sama, ribut tropika itu menyebabkan ramai pelancong terkandas di pulau pelancongan Koh Samui, Koh Phangan dan Koh Tao, selepas lapangan terbang ditutup, manakala perkhidmatan feri ke tanah besar dibatalkan.

“Setakat ini tiada laporan kematian diterima dan saya yakin pelancong boleh meninggalkan semua pulau pelancongan terbabit hari ini, kerana perkhidmatan feri serta lapangan terbang sudah kembali beroperasi,” kata ketua daerah Koh Samui, Kittipop Roddon.

Bagaimanapun, amaran merah masih dikeluarkan, sekali gus melarang orang ramai daripada berenang di kawasan pantai.

Sementara itu, kira-kira 200,000 penduduk terpaksa bergelap selepas puluhan tiang elektrik tumbang akibat angin kencang atau ditimpa pokok.

“Kira-kira 30,000 penduduk masih terputus bekalan elektrik hingga awal pagi tadi,” kata Jabatan Perlindungan dan Kawalan Bencana.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 2:23 PM