NAJIB  melakukan gimik pelancaran sambil diperhatikan  Mohamed Khaled  (kanan) dan  Ismail sempena sambutan Ulang Tahun ke-10 Iskandar Malaysia (IM10) di Kompleks Sukan Educity, semalam.
NAJIB melakukan gimik pelancaran sambil diperhatikan Mohamed Khaled (kanan) dan Ismail sempena sambutan Ulang Tahun ke-10 Iskandar Malaysia (IM10) di Kompleks Sukan Educity, semalam.
Izlaily Nurul Ain Hussein

Iskandar Puteri: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yakin Malaysia boleh menjana saiz ekonomi RM2 trilion dalam tempoh tujuh atau lapan tahun akan datang.

Beliau berkata, ekonomi negara yang kini mencecah RM1.3 trilion mampu untuk ditingkatkan kepada sasaran RM2 trilion berikutan kepesatan projek pembangunan dilaksanakan.

“Dalam Perhimpunan Agung UMNO, baru-baru ini, saya ada gariskan perkara ini bahawa ekonomi kita adalah RM1.3 trilion pada masa ini dan kita mahu mencapai ekonomi RM2 trilion dalam tujuh atau lapan tahun akan datang.

“Antara projek seperti Pembangunan Iskandar, Kereta Api Kelajuan Tinggi (HSR), Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Jajaran Kereta Api Pantai Timur (ECRL), Bandar Malaysia serta Lebuhraya Pan Borneo inilah yang akan menjadi penyumbang kepada RM2 trilion ekonomi itu nanti.

“Dalam lawatan saya di Johor pun apabila melawat Pengerang, saya yakin dengan projek ini dan kita akan dapat mencapainya,” katanya pada sidang media selepas melancarkan sambutan Ulang Tahun ke-10 Iskandar Malaysia (IM10) di Kompleks Sukan Educity di sini, semalam.

Menurutnya, beliau juga meletakkan impian besar untuk Malaysia menjadi 20 negara terbaik di dunia dalam tempoh tertentu namun kriteria untuk ke arah itu akan diumumkan nanti.

Pada pelancaran sambutan ulang tahun wilayah ekonomi itu, Najib turut mengumumkan Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) yang dilihat sebagai antara sektor yang digalakkan di Iskandar Malaysia.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, sejak penubuhan Iskandar Malaysia pada 2006, wilayah itu sudah mencatat jumlah pelaburan terkumpul sebanyak RM221 bilion, lebih tinggi berbanding sasaran awal iaitu RM215 bilion yang ditetapkan pada awal penubuhannya.

“Iskandar Malaysia juga mewujudkan 700,000 peluang pekerjaan dan pembangunan Iskandar ini kita tekankan kepada pembangunan yang mesra alam.

“Kita mahu jadikan pembangunan Iskandar ini sebagai pembangunan yang mempunyai karektor sendiri supaya dilengkapi dengan ciri-ciri yang sesuai dengan sejarah dan budaya kita dalam alam sekitar,” katanya.

Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Penasihat Iskandar Malaysia yang juga bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ismail Karim dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim.

Pada masa sama, Najib yang mengadakan lawatan kerja dua hari di Johor semalam dan kelmarin turut mengumumkan pembinaan masjid di Taman Bayu Damai yang juga Pusat Pembangunan Pengerang dekat Kota Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 7:21 AM