AHOK
AHOK
Agensi

Jakarta: Perbicaraan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama yang didakwa atas tuduhan menghina agama Islam dijadualkan bermula pada 13 Disember ini.

Jurucakap mahkamah, Hasoloan Sianturi berkata, perbicaraan itu dijadualkan berlangsung di Pengadilan Negeri Jakarta Utara.

Menurutnya, perbicaraan itu terbuka kepada orang ramai dan ia dijangka disiarkan secara langsung di televisyen.

“Tarikh itu ditetapkan selepas senarai lima hakim yang dipilih untuk mendengar kes berkenaan dimuktamadkan,” katanya.

Menurutnya, perbicaraan dijadual bermula pada jam 9 pagi (waktu tempatan) dan orang ramai bebas untuk hadir ke mahkamah.

“Kami juga sudah berhubung dengan pihak polis untuk mengawal keadaan di mahkamah sepanjang perbicaraan berlangsung,” jelasnya.

Basuki atau lebih dikenali sebagai Ahok didakwa atas tuduhan menghina agama selepas mendakwa lawannya menggunakan ayat al-Quran untuk menipu orang ramai supaya tidak mengundinya.

Ahok yang bertanding dalam pilihan raya gabenor pada Februari depan adalah gabenor Jakarta kedua beragama Kristian dan yang pertama daripada etnik Cina.

Dia dijangka mempertahankan jawatannya itu tetapi kontroversi itu menjejaskan kempen pilihan rayanya.

Beberapa kumpulan agama Islam melancarkan beberapa bantahan termasuk yang terbaru pada minggu lalu apabila hampir 200,000 penunjuk perasaan berhimpun bagi mendesak Ahok ditangkap.

Sekiranya didapati bersalah kerana menghina agama, Ahok berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 10:14 AM