PERKHIDMATAN feri disediakan buat pengunjung ke Pulau Jerejak.
PERKHIDMATAN feri disediakan buat pengunjung ke Pulau Jerejak.
AKTIVITI wall climbing turut disediakan buat pengunjung yang meminati sukan lasak itu di Pulau Jerejak
AKTIVITI wall climbing turut disediakan buat pengunjung yang meminati sukan lasak itu di Pulau Jerejak
SUASANA tenang dan damai di kawasan resort.
SUASANA tenang dan damai di kawasan resort.
PANORAMA indah waktu senja cukup mendamaikan di Jerejak Rainforest Resort.
PANORAMA indah waktu senja cukup mendamaikan di Jerejak Rainforest Resort.
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin


Pulau Jerejak di Pulau Pinang suatu masa dulu cukup menyeramkan kerana dikenali sebagai pusat penempatan banduan yang dibuang negeri sehingga digelar Alcatraz Malaysia sebelum pusat berkenaan ditutup pada Ogos 1993.

Dari segi sejarah, pulau itu pernah dijadikan pangkalan tentera laut British pada 1797 bertujuan melindungi bandar baharu Pulau Pinang, ‘Jamestown’ yang kini dikenali sebagai Bayan Lepas sebelum dijadikan tempat menyaring pendatang yang datang ke tanah besar.

Pulau Jerejak dengan keluasan 362 hektar dan terletak 1.5 batu nautika dari tanah besar ditemui pada 1786 dan kawasan hutan di pulau itu memiliki 210 spesies daripada 71 keluarga flora dan 39 spesies fauna.

Keindahan alam semula jadinya yang tidak banyak diteroka menyebabkan ia kini menjadi tarikan pelancong sama ada dalam atau luar negara selepas hotel Jerejak Rainforest Resort mula dibuka pada 2003.

Hotel yang dimiliki Ancasa Hotel & Resort itu menjadi persinggahan serta mempunyai daya tarikan tersendiri buat pengunjung yang inginkan suasana tenang dan damai untuk bercuti bersama keluarga, sekali gus lari daripada hiruk-pikuk kesibukan kota.

Peluang bercuti bersama keluarga selama tiga hari dua malam baru-baru ini meninggalkan 1,001 kenangan manis buat penulis kerana suasana di pulau itu berbeza berbanding dengan percutian di kawasan pantai atau taman tema.

Untuk ke Jerejak Rainforest Resort, pengunjung akan merasai pengalaman menaiki bot kecil atau feri dari Jeti Pulau Jerejak di Bayan Lepas yang hanya mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 minit untuk sampai.

Perkhidmatan bot disediakan seawal jam 6.30 pagi hingga 11.30 malam dengan kekerapan sejam bagi setiap laluan pergi dan balik dari jeti ke resort dan pengunjung boleh membuat tempahan khas jika ingin mendapatkan perkhidmatan bot berkenaan selepas jam 12 tengah malam.

Apa yang menyeronok­kan, setibanya di jeti Jerejak Rainforest Resort pengunjung akan merasai suasana tenang berada di hutan rimba dengan gemersik bunyi cengkerik sambil berjalan ke kaunter daftar masuk sebelum ke bilik penginapan.

Menginap di bilik bersaiz Deluxe Twin pastinya cukup selesa, apatah lagi ruang bilik yang luas membolehkan katil tambahan disediakan untuk anak. Di Jerejak Rainforest Resort terdapat tiga kategori bilik iaitu Deluxe Queen, Deluxe King dan Deluxe Twin yang semuanya berjumlah 48 unit.

Bagi mereka yang mahukan kelainan, chalet mewah Sun Yi Villa di atas bukit boleh menjadi pilihan dan semua biliknya dilengkapi pelbagai kemudahan moden dan setiap tempahan bilik akan dilengkapi sarapan pagi di Restoran Santapan bersebelahan kolam renang.

Kebiasaannya, kolam renang dewasa dan kanak-kanak menjadi lokasi tumpuan pengunjung dan kanak-kanak menghabiskan petang hari pertama sebelum menikmati makan malam di Restoran Santapan.

Keesokannya, pelbagai aktiviti menarik disediakan di pulau berkenaan seperti memancing, memanah, paintball, memanjat tembok serta bermain bola sepak pantai. Malah, pihak resort turut menyediakan pakej mengelilingi pulau dengan bot jika ada permintaan.

Penulis sempat merasai pengalaman memanah, bermain paintball dan memanjat tembok sebelum mengelilingi pulau dengan bot.

Kesempatan mengunjungi sangkar ikan berhampiran pulau berkenaan cukup mengujakan kerana bukan mudah singgah di sangkar yang menempatkan pelbagai jenis ikan sama ada untuk pasaran tempatan atau eksport.

Selepas itu, penulis singgah di bangunan bekas penjara lama yang usang dan dipenuhi semak dan menyimpan pelbagai misteri satu masa dulu.

Di resort berkenaan, pelbagai pakej disediakan termasuk pasangan yang ingin berbulan madu atau meraikan ulang tahun perkahwinan. Pengalaman dimanjakan sambil merehatkan badan dengan mengunjungi Jerejak Spa dikelilingi hutan hujan tropika dan perkhidmatan urutan Baku yang disediakan dengan haruman bunga segar bagaikan berada di Bali, Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 10:19 AM