Mayat mangsa yang ditemui anggota bomba. - Foto Ihsan Pembaca
Mayat mangsa yang ditemui anggota bomba. - Foto Ihsan Pembaca
Norasikin Daineh


Lahad Datu: Seorang lelaki maut dipercayai diserang buaya ketika menyelam untuk memanah ikan dalam laut di perairan Industri Kluster Minyak Sawit (POIC), dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, mayat mangsa yang dikenali sebagai Tigahari Madjami dipercayai penduduk tempatan, ditemui anggota bomba yang melakukan operasi di kawasan terbabit.

Difahamkan, mangsa yang juga pesara kerajaan melakukan aktiviti menyelam di kawasan berkenaan apabila diserang buaya dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12 tengah malam dan 10 anggota bersama sebuah jentera dikejar ke lokasi kejadian.

"Seorang lelaki dipercayai dibaham buaya berjaya ditemui pada 12.33 tengah malam dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 2:47 PM