NICO Rosberg.
NICO Rosberg.
LEWIS Hamilton.
LEWIS Hamilton.
Reuters

Abu Dhabi: Perebutan kejuaraan Formula Satu antara dua pemandu Mercedes, Lewis Hamilton dan Nico Rosberg mengungguli senarai bagi Grand Prix Abu Dhabi Ahad ini namun ‘pertunjukan Max Verstappen’ mungkin tetap menghiburkan.

Selepas perlumbaan dalam hujan lebat yang sensasi di Brazil menyaksikan pemandu Red Bull berusia 19 tahun itu melonjak dari tangga ke-16 untuk menduduki tangga ketiga pada saat-saat akhir, pemandu Belanda itu tiba di Yas Marina dengan kritikan dan ejekan di sekelilingnya.

Pemenang paling muda dalam sukan itu boleh mencetus lebih banyak kejutan mahupun masalah buat pencabar kejuaraan.

Dia dan rakan sepasukan dari Australia, Daniel Ricciardo tidak boleh sekadar berdiam diri menyaksikan dari jauh Hamilton dan Rosberg bersaing merebut kejuaraan.

“Nico memandu dengan memikirkan mengenai kejuaraan,” ujar prinsipal pasukan Red Bull, Christian Horner.

“Dia pasti akan melihat cermin keretanya lebih kerap menuju ke selekoh pertama dan pemandu kami, mereka tidak berada di posisi itu jadi mereka tidak kisah.

“Mungkin Nico kalah dan kami menjadi kawan baik Lewis jika kedua-dua kereta kami mampu mencelah di tengah-tengah antaranya dan Nico.”

Ketika Ricciardo sudah pasti menghuni tangga ketiga keseluruhan, Verstappen boleh merampas tempat keempat daripada pemandu Ferrari, Sebastian Vettel, kedua-duanya hanya dipisahkan dengan lima mata.

Verstappen dan Vettel bertembung di Mexico bulan lalu, satu daripda beberapa insiden yang menyebabkan kemarahan pemandu lain mengenai sikap pemandu muda itu yang tidak mengira reputasi dan peraturan.

Pada masa sama, Verstappen memenangi undian secara dalam talian ‘Pemandu Terbaik Harian’ dalam kalangan peminat banyak kali musim ini yang menjadikannya sebagai bahan jenaka.

Tidak kira kritikan mahupun pujian diterimanya, Verstappen tidak mempedulikan semua itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2016 @ 7:53 AM