Agensi

Monaco: Daniel Ricciardo (gambar) akan bermula di petak utama buat kali pertama sepanjang kariernya selepas mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Monaco semalam sekali gus kembali meletakkan Red Bull di kelompok depan.

Ricciardo mempamerkan pemanduan meyakinkan apabila mencatatkan masa terpantas 1 minit 13.622 saat.

Bagaimanapun, rakan sepasukannya yang juga juara GP Sepanyol Max Verstappen terbabit kemalangan pada sesi kelayakan pertama sekali gus menyaksikannya bakal bermula di petak ke-21.

Ricciardo mengatasi pendahulu kejuaraan pemandu, Nico Rosberg dari pasukan Mercedes yang sekadar berpuas hati di petak kedua hari ini

Sementara rakan sepasukan Rosberg yang juga juara bertahan, Lewis Hamilton mencatat masa ketiga terpantas.

Meskipun Rosberg dan Hamilton dilihat mempunyai jentera lebih pantas namun kedua-dua pemandu itu gagal menyaingi Ricciardo yang meraikan petak pertama untuk Red Bull sejak kali terakhir pasukan itu melakukannya pada 2013.

Hamilton yang terpaksa keluar lewat selepas berdepan masalah bateri, terpaksa bekerja keras untuk meraih petak ketiga.

Sebastian Vettel dari Ferrari pula akan bermula di petak keempat sementara Nico Hulkenberg dari Force India meraih permulaan terbaik untuk pasukannya apabila bakal bermula di petak kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2016 @ 5:11 AM