Fardy Bungga


Kajang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyerbu syarikat penghantaran barang di Jalan Reko, di sini, dipercayai digunakan sindiket untuk membawa keluar barang kawalan bersubsidi.

Dalam serbuan 11 pagi itu, ratusan kotak yang sedang dipunggah masuk ke dalam kontena itu didapati berisi minyak masak dan gula pasir yang dilonggokkan bersama pakaian dan barangan lain.

Timbalan Pengarah KPDNKK Othman Nawang berkata, setakat 3 petang pihaknya sudah menemui dan merampas lebih 4 tan metrik minyak masak dan 5 tan metrik gula pasir.

Katanya, siasatan awal mendapati semua kotak-kotak ini dihantar dari seluruh negara ke beberapa lokasi di Indonesia.

"Kita masih menyiasat untuk mengenal pasti pembabitan syarikat penghantar ini dalam kegiatan penyeludupan barang kawalan yang ditemui.

"Setakat ini semua barang kawalan yang sudah dirampas dianggarkan bernilai RM30,000 dan anggota KPDNKK masih giat memeriksa kotak-kotak lain yang ada di gudang ini," katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, siasatan akan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2016 @ 3:59 PM