Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Pemilik restoran didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, terhadap pertuduhan mencatut harga teh o ais daripada RM2.80 kepada RM4 segelas, September lalu.

Tertuduh, Jessica Choo Kim Lian, 34, mengaku bersalah di atas pertuduhan itu di hadapan Hakim Adli Abd Ghalib selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencatut menjual segelas teh o ais dengan menaikkan harga daripada RM2.80 kepada RM4 di premis Ozarah Cafe, Jalan Tok Hakim pada 29 September 2015.

Tertuduh gagal mematuhi Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 18(b), Akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan Mohd Farizul Hassan Bakri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 11:41 AM