Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Seorang peniaga kedai aksesori kereta didenda RM5,000 di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 (GST) kerana mengeluarkan invois cukai yang tidak lengkap, April lalu.

Hakim Adli Abd Ghalib menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Low So Uen, 43, mengaku bersalah terhadap tuduhan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan tertuduh yang berdaftar di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 didakwa mengeluarkan invois cukai yang tidak mengandungi butiran lengkap di bawah Peraturan 22, Peraturan Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kedai eksesori kereta di Jalan Sultan Yahya Petra di sini pada jam 12 tengah hari, 17 April 2015.

Tertuduh didakwa Seksyen 33(2)(b) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 dan Seksyen 96 akta sama yang memperuntukkan RM30,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2015 @ 10:50 AM