BERSANTAI sambil menikmati secawan kopi membuatkansuasana istirahat lebih bermakna bagi Rafidah.
BERSANTAI sambil menikmati secawan kopi membuatkansuasana istirahat lebih bermakna bagi Rafidah.
GABUNGAN tanaman hijau dan berbunga.
GABUNGAN tanaman hijau dan berbunga.
DI sudut mana pun, bersantai di taman ini memang mengujakan.
DI sudut mana pun, bersantai di taman ini memang mengujakan.
KEINDAHAN taman bahagian depan kediaman yang diserikan dengan pelbagai jenis tanaman berbunga.
KEINDAHAN taman bahagian depan kediaman yang diserikan dengan pelbagai jenis tanaman berbunga.
TENTUNYA Rafidah mempunyai petua tersendiri dalam menyuburkan tanaman.
TENTUNYA Rafidah mempunyai petua tersendiri dalam menyuburkan tanaman.
KELUASAN yang ada dimanfaatkan sepenuhnya.
KELUASAN yang ada dimanfaatkan sepenuhnya.
NOOR NAHAR mengisi waktu senggang dengan meninjau perkembangan taman rosnya.
NOOR NAHAR mengisi waktu senggang dengan meninjau perkembangan taman rosnya.
ROS yang berkembang menambahkan variasi warna.
ROS yang berkembang menambahkan variasi warna.
Hartini Mohd Nawi


Kediaman kedua yang penulis kunjungi ini ada aura landskap dengan konsep taman ilham kreatif pemilik dan keluarga.

Kecil molek orangnya, namun punyai idea segar dalam menghias taman di kediamannya.

Menjadikan sahabatnya Norsahida sebagai rakan landskap paling dekat mendorong Rafidah menampilkan aura semula jadi terbaik di kediamannya.

“Landskap mengeratkan ikatan persahabatan kami yang mempunyai minat sama.

“Melihat persekitaran kediaman Norsahida yang menarik membuatkan saya terpanggil untuk menata hias landskap kediaman sendiri seadanya,” kata Rafidah yang sering bersama Norsahida mengunjungi lokasi tertentu untuk mendapatkan pokok bunga pilihan.

Menganggap idea taman di kediamannya sekadar biasa-biasa, beliau turut mengakui ‘bermain’ dengan daun dan pokok memerlukan minat atau kesungguhan.

“Ini bukan sekadar mengikut kawan atau jiran kerana dunia landskap sebenar mengajar kita lebih serius dan bersedia dengan insiden kurang enak. Bermakna kita tidak boleh kecewa jika pokok yang ditanam mati,” katanya.

Sama dengan Norsahida, Rafidah dilihat begitu meminati tanaman jenis berbunga khususnya ros.

Biarpun ketika temubual hanya ada beberapa ros berkembang, kesuburan tanaman itu dapat dilihat dengan jelas.

Penataan landskap bahagian depan sarat dengan mesej tersendiri. Dipenuhi dengan pelbagai tanaman jenis berbunga.

Juraian bunga petunia dari pasu yang digantung sudah cukup membuatkan sesiapa saja teruja selain deretan bunga ros yang menampilkan variasi tersendiri.

“Minat terhadap dunia landskap terutama bunga mendorong saya cuba sedaya upaya menyerikan segenap ruang taman dengan elemen bersesuaian.

“Bunga bagi saya antara terapi terbaik yang memberikan ketenangan sepanjang masa.

“Apatah lagi dengan mengenali rakan Facebook Ros Rosa Rose Mawar with HoneyBee dan Kelab Ros HoneyBee banyak membantu saya menampilkan kelainan di taman,” katanya.

Menjenguk bahagian belakang, satu panorama memukau berada di depan mata kerana konsep taman santai yang diilhamkan Rafidah benar-benar menarik.

Suasana santai dilengkapi dengan reka bentuk taman praktikal menambah keceriaan sebaik berada di situ.

Tanaman herba dan pokok buah-buahan turut menyerikan ruang taman belakang itu.

“Ditambah dengan hobi suami yang suka berkebun, taman belakang ini antara lain menjadi tempat beliau mengisi waktu terluang.

“Sebab itu banyak pokok herba dan buah-buah ditanam,” kata Rafidah yang berbangga suaminya, Ab Latif Mohd Saman, 45, sentiasa menyokong minatnya.

Taman Ros Noor Nahar guna idea sendiri

Kediaman ketiga ini memberi gambaran pemiliknya juga antara pencinta dunia bunga terutama ros.

Berkesempatan mengunjungi kediaman Noor Nahar bersama Norsahida dan Rafidah baru-baru ini antara pengalaman manis apabila menyaksikan tiga sahabat ini teruja ketika memperkatakan dunia landskap.

Konsep taman ditampilkan berbeza, namun kediaman yang terletak di Presint 8, Putrajaya ini ada keunikan tersendiri.

Mulanya segan dengan suasana taman yang dianggap masih kurang menarik pada pandangan Noor Nahar, namun akhirnya beliau bersetuju berkongsi beberapa idea taman rosnya untuk tatapan pembaca.

“Minat menanam bunga sudah lama cuma ia benar-benar serius apabila saya mendiami rumah ini sejak empat tahun lalu.

“Apabila saling berkongsi idea dalam Facebook Ros Rosa Rose Mawar with HoneyBee dan Kelab Ros HoneyBee, banyak informasi menarik berkenaan bunga ros.

“Lantas saya mengambil peluang ini berusaha sedaya mungkin menampilkan taman ros dari kaca mata sendiri,” kata Noor Nahar, anak kelahiran Taiping, Perak ini.

Memperincikan latar taman ros itu, Noor Nahar mempunyai cerita tersendiri di sebalik kesegaran dan kesuburan pokok bunga ros ditanamnya.

“Hari demi hari saya menimba sebanyak mungkin ilmu berkenaan bunga ros.

Pandangan ahli kelab dan rakan terdekat seperti Norsahida dan Rafidah banyak membantu hingga terhasilnya taman seperti ini. Ia biasa-biasa saja pada pandangan saya,” katanya.

Malah suri rumah sepenuh masa itu turut merencanakan sendiri reka letak pelbagai jenis ros pada tamannya.

Waktu senggang yang ada diisi dengan menjenguk bunga ros di taman. Paling jelas, deretan pokok bunga itu disusun teratur dengan mengambil kira aspek keselamatan.

Ini kerana taman itu juga turut menjadi tempat anaknya bermain atau beriadah.

“Semua pokok bunga ini ditanam dalam pasu dan diletakkan dalam dua deretan panjang. Satu rapat ke dinding luar kediaman, satu lagi rapat ke bahagian tepi taman.

“Jadi, ruang tengah lapang dan membolehkan anak saya dan tetamu bebas beriadah,” katanya.

Bagi mengimbangi suasana, keseluruhan taman turut ditanam rumput untuk keselesaan dan aura hijau semula jadi.

Elemen hiasan lain seperti batu-batuan dan kepingan kayu bukan saja memudahkan pergerakan, malah mewarnai keunikan taman ros itu.

“Paling seronok apabila berada di taman, anak bertanyakan jenis ros yang berkembang.

“Sekurang-kurangnya idea ini membantu mereka lebih mengenali ros dan dekat dengan alam,” katanya.

Tidak hanya membawa penulis menemui Noor Nahar, malah Norsahida dan Rafidah juga mengambil kesempatan bertukar idea mengenai dunia landskap.

Mereka saling mengagumi dan yakin di mana ada kesungguhan di situ ada jalan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2016 @ 5:03 AM