NORSAHIDA gemarkan kelainan pada landskap kediamannya.
NORSAHIDA gemarkan kelainan pada landskap kediamannya.
SUSUN atur taman yang memudahkan pergerakan.
SUSUN atur taman yang memudahkan pergerakan.
ORNAMEN arnab diletakkan pada celahan pasu bunga.
ORNAMEN arnab diletakkan pada celahan pasu bunga.
KERUSI santai ini melengkapkan keindahan di taman belakang.
KERUSI santai ini melengkapkan keindahan di taman belakang.
GERBANG putih yang diserikan dengan jambangan segar petunia.
GERBANG putih yang diserikan dengan jambangan segar petunia.
TIDAK lengkap suasana taman tanpa susun letak aksesori hiasan sebegini.
TIDAK lengkap suasana taman tanpa susun letak aksesori hiasan sebegini.
Hartini Mohd Nawi


Minat sama mengeratkan ikatan persahabatan tiga pemilik kediaman ini yang pada asalnya mencipta landskap sekadar biasa-biasa.

Tinggal di Putrajaya, namun berbeza presint tidak sedikit pun menghalang mereka bertemu sambil bertukar idea perkembangan landskap di kediaman masing-masing. Seorang di Presint 8, dua lagi di Presint 11.

Kedudukan kediaman berdekatan memberi kelebihan kepada Norsahida Md Saad, 39, dan Rafidah Abd Manaf, 42, untuk saling berkunjungan bagaikan keluarga sendiri.

Malah, kediaman Noor Nahar Kadir Ismail, 43, yang terletak di Presint 8 juga sekali-sekala turut menjadi lokasi pertemuan tiga sahabat ini.

Jika ada kelapangan terutama hujung minggu, tiada lain yang dibualkan kecuali dunia landskap terutama bunga ros.

Asalnya Norsahida dan Rafidah tidak mengenali Noor Nahar hinggalah mereka ‘ditemukan’ dalam Facebook Ros Rosa Rose Mawar with HoneyBee dan Kelab Ros HoneyBee.

Apabila masing-masing berkongsi perkembangan bunga ros yang ditanam menerusi kelab berkenaan, terbit rasa kagum selain lebih bermakna kerana tinggal di kawasan berhampiran.

Biarpun tampil dengan idea atau konsep taman berbeza, tiga individu ini begitu teruja sebaik memperkatakan keunikan landskap di kediaman masing-masing.

Mereka paling gembira sebaik pokok bunga ditanam terutama ros menghasilkan bunga dengan sempurna dan tumbuh subur.

Landskap taman Inggeris Norsahida

“Menanam pokok bunga sudah menjadi minat saya sejak kecil dan malam menjadi waktu paling saya gemari untuk ‘bermesra’ dengan pokok bunga di laman landskap kami ini.

“Sambil menyiram, membaja atau sedikit penyelenggaraan, saya pasti mengubah kedudukan tanaman ini jika sudah bosan dengan reka letak sebelumnya,” kata Norsahida.

Sekali pandang, bahagian depan kediamannya bagaikan taman indah apabila dipenuhi pelbagai jenis bunga-bungaan segar khususnya ros dan petunia yang sejuk mata memandang.

Tanaman berselang seli ros berbunga dan tidak berbunga itu memberikan tarikan tersendiri menerusi penggunaan pasu putih. Begitu juga dengan gerbang bunga putih yang menambahkan lagi seri taman depan.

Kerusi santai yang ditempatkan pada sudut khas bersebelahan pintu masuk menjadi lokasi istirahat bersama keluarga terutama hujung minggu.

Ketika dipelawa untuk ke laman belakang, terdetik di hati penulis tentunya penataan lebih hebat diketengahkan.

Ternyata ia lebih daripada itu dengan mengekalkan konsep taman Inggeris. Duduk di kerusi santai yang juga sinonim dengan konsep tentunya memberi peluang keindahan landskap di depan mata dinikmati sepenuhnya.

Hamparan rumput hijau, pelbagai tanaman berbunga yang di dalam pasu dan aksesori hiasan unik pada dinding luar kediaman itu membuatkan konsep taman diketengahkan benar-benar mencuri perhatian.

Deretan tanaman menjalar seperti pokok bunga seri pagi memberikan sudut keindahan tersendiri.

“Masing-masing ada idea mencipta taman sendiri kerana suasana tenang itu satu terapi.

“Tidak dinafikan menyelenggara tananam jenis berbunga bukan satu perkara mudah. Paling penting kesungguhan dan ilmu mengenai dunia landskap itu sendiri,” kata Norsahida.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2016 @ 5:03 AM