Nor Azura Abdul Jalil


Kuala Lumpur: Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan memiliki dan mendedahkan halaman 98 laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mac lalu.

Hakim Zulqarnain Hassan menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 18 bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, jaminan terhadap tertuduh dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000.

Dalam penghakimannya, Zulqarnain berkata, penjelasan tertuduh tidak menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Pada 8 April lalu, Mohd Rafizi yang juga Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR didakwa memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang menjadi kesalahan mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972.

Mohd Rafizi, 39, didakwa melakukan kesalahan itu di lobi bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini pada 3 petang, 24 Mac lalu, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) OSA 1972 dan boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mendedahkan kandungan laporan berkenaan dalam sidang media di tempat dan pada masa sama, 28 Mac lalu, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 12:02 PM