KHAIRUL tampil cemerlang pada musim sulung Moto3.
KHAIRUL tampil cemerlang pada musim sulung Moto3.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Persoalan mengenai ke mana arah tuju pelumba sensasi negara Khairul Idham Pawi (gambar) musim depan akhirnya terjawab selepas namanya berada dalam senarai awal pelumba beraksi bagi kelas Moto2.

Pelumba yang mendapat gelaran Super KIP itu akan beraksi bersama IDEMITSU Honda Team Asia bergandingan bersama pelumba Jepun Takaaki Nakagami dengan menggunakan jentera Kalex.

Khairul beraksi pada musim pertamanya tahun ini di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto3 bersama Honda Team Asia, pasukan ‘adik’ kepada IDEMITSU Honda Team Asia.

Usaha untuk mendapatkan reaksi Khairul bagaimanapun tidak berjaya.

Namun bagi bekas pelumba negara Azlan Shah Kamaruzaman yang juga pernah beraksi dalam pasukan sama selama dua musim, tidak timbul sebarang isu Khairul terlalu cepat beraksi dalam kancah Moto2.

“Tapi pada musim pertamanya, saya pasti dia akan melalui proses pembelajaran bagaimana membawa jentera Moto2 yang jauh berbeza berbanding Moto3, terutama dari sudut berat dan kuasa.

“Saya sendiri belajar hampir semusim setengah sebelum dapat benar-benar sesuaikan diri,” katanya.

Bagaimanapun jelas Azlan, Khairul seorang pelumba berbakat dan sudah pasti dapat menyesuaikan dirinya dengan cepat.

“Dia juga berada dalam pasukan bagus kerana mekanik yang ada cukup berpengalaman.

“Saya yakin pasukannya akan dapat membantu Khairul untuk naik satu tahap lebih tinggi,” katanya.

Khairul mempamer aksi memberangsangkan pada musim pertamanya dalam Moto3 apabila mencipta sejarah untuk negara dengan menjuarai Grand Prix (GP) Argentina serta Jerman.

Sementara itu, Hafizh Syahrin Abdullah turut berada dalam senarai awal pelumba kelas Moto2 yang akan beraksi musim depan.

Hafizh yang sudah tiga musim beraksi dalam perlumbaan berprestij itu, akan kekal bersama PETRONAS Raceline Malaysia.

Bagi pelumba SIC Racing Team, Adam Norrodin yang turut beraksi musim pertamanya bersama Khairul tahun ini, dia akan kekal dalam Moto3 bersama pasukan sama tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2016 @ 11:56 AM