KHAIRUL Idham Pawi
KHAIRUL Idham Pawi
Daripada Sukhairi Thani di Silverstone dan London

 

SLOT dalam pasukan Moto2 negara jelas ‘hangat' apatah lagi dengan Khairul Idham Pawi diumumkan sebagai pelumba keempat yang bakal mengisi senarai berkenaan bagi musim depan.

Pelumba pertama bagi pasukan yang pada mulanya dikenali sebagai SIC Racing itu adalah Hafizh Syahrin Abdullah namun pada saat akhir sebelum musim 2018 bermula, dia diangkat untuk menyertai kelas perdana MotoGP bersama Monster Yamaha Tech3.

Tempat dikosongkan Hafizh itu kemudiannya diisi bekas pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin namun menarik diri pada awal Mei lalu selepas bergelut dengan prestasi dalam kelas pertengahan itu.

Pelumba Finland, Niki Tuuli kemudiannya dipilih menggantikan tempat Zulfahmi bermula di Grand Prix (GP) Le Mans sebelum nama pasukan ditukar kepada PETRONAS Sprinta Racing selepas itu.  

Dan perkara ini secara sedikit sebanyak 'menghantui' Khairul Idham namun percaya ia dapat diatasi dengan mempamerkan prestasi positif.

"Sudah pasti saya sedikit tertekan tetapi saya akan cuba berlatih dengan lebih gigih dan meningkatkan skil tunggangan," kata Khairul Idham yang mengikat kontak selama dua tahun bersama pasukan yang dijenamakan PETRONAS Sepang Racing, musim depan.

"Saya mungkin akan menetap di Barcelona (musim depan) dan berlatih bersama pelatih (daripada SIC) dan saya berharap dapat mempamerkan peningkatan. Perasaan memang gembira sebab ini kali pertama saya menyertai pasukan Malaysia.

"Saya sangat gembira apabila dapat berada dalam satu keluarga daripada Malaysia dan berharap dapat kerjasama yang baik (daripada pasukan) dan saya akan memanfaatkan sepenuhnya peluang diterima ini."

Khairul Idham atau dikenali sebagai SuperKIP mula menyertai kelas Moto2 pada 2017 selepas meraih kejayaan manis di Moto3 2016 - muncul juara di GP Argentina dan Jerman. Musim ini dia bersama IDEMITSU Honda Team Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 8:11 AM