Khairul Idham bersaing kategori lebih mencabar musim depan. FOTO HM
Khairul Idham bersaing kategori lebih mencabar musim depan. FOTO HM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pelumba negara Khairul Idham Pawi bakal mengharungi cabaran baru pada Kejuaraan Motosikal Dunia musim depan apabila namanya berada dalam senarai awal pelumba kelas Moto2.

Khairul yang beraksi pada musim pertama di saingan Moto3 tahun ini bersama Honda Team Asia akan menyertai pasukan IDEMITSU Honda Team Asia dalam kategori lebih mencabar itu pada musim depan.

Dia akan bergandingan bersama pelumba Jepun Takaaki Nakagami dengan menggunakan jentera Kalex.

Khairul yang mendapat gelaran Super KIP, mempamer aksi memberangsangkan pada musim pertamanya di Moto3 apabila mencipta sejarah untuk negara dengan menaiki podium pertama sebanyak dua kali iaitu di Grand Prix (GP) Argentina serta Jerman.

Sementara itu, Hafizh Syahrin Abdullah turut berada dalam senarai awal pelumba kelas Moto2 yang akan beraksi musim depan.

Hafizh yang sudah tiga musim beraksi di perlumbaan berprestij itu, akan kekal bersama PETRONAS Raceline Malaysia.

Bagi pelumba SIC Racing Team, Adam Norrodin yang turut beraksi di musim pertamanya bersama Khairul tahun ini, dia akan kekal di Moto3 bersama pasukan sama tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 3:55 PM