Tertuduh (baju lokap oren) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar.
Tertuduh (baju lokap oren) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar.
Mohd Hafizee Mohd Arop

hafizee@hmetro com.my

Kuala Kangsar: Seorang kelindan lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh abang kandungnya sendiri, 29 Oktober lalu.

Tertuduh K Sritharan,39 menggangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa dihadapan Majistret Noorhidayah Mohd Saad dan tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh K Gopal,42, di rumah no. 35, Jalan 3, Taman Sri Permai, Padang Rengas, di sini pada 29 Oktober 2016 jam 9.30 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Noorhidayah menetapkan 19 Disember ini sebagai sebutan semula kes dan tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.

Pendakwaan dijalankan Nazratul Natrah Mohd Yusuf manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 10:29 AM