Muhammad Hatim Ab Manan
Muhammad Hatim Ab Manan
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Seorang suri rumah warga Indonesia dijatuhi hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam apabila mengaku bersalah atas dua tuduhan iaitu menyebabkan kecederaan dan mengugut seorang wanita, awal bulan lalu.

Pengakuan itu dibuat Feibe Flora Bidule, 35, selepas faham pertuduhan terhadapnya yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, Bidule didapati sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Lee Fei Lin, 47, di tepi jalan, Jalan Bachang, jam 2.30 tengah hari, 1 September lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 321 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 323 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 12 bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menakutkan secara jenayah mangsa sama dengan berkata ‘kalau jumpa di mana-mana akan kasi mati’ pada waktu dan lokasi sama.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, ibu kepada tiga anak itu yang diwakili peguam Nik Norhaizun Che Mat merayu hukumannya diringankan kerana disahkan doktor mengalami kemurungan, selain bergantung kepada pendapatan bulanan suami bekerja sebagai pemandu teksi.

Namun, Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) Asisten Superintendan Nora Yaacob memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda RM2,000 bagi setiap pertuduhan dan boleh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 9:17 AM