Petikan rakaman CCTV yang viral di media sosial sebelum ini.
Petikan rakaman CCTV yang viral di media sosial sebelum ini.
BERNAMA

Petaling Jaya: Dua lelaki, termasuk remaja 17 tahun yang menjadi viral melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kes samun seorang wanita baru-baru ini, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tiga pertuduhan samun bersenjata.

Remaja berusia 17 tahun mengaku bersalah atas tiga pertuduhan itu, bagaimanapun rakannya R Pirabagaran, 22, mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan sama yang dibacakan di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama melakukan rompak berkumpulan menggunakan parang terhadap Mohamad Rasul Mohd Zukri, 26, dengan merampas kad pengenalan, kad Touch 'n Go dan sebuah kereta jenis Honda Civic milik mangsa.

Mereka juga didakwa melakukan kesalahan sama menggunakan parang terhadap Ain Nina Marji, 23, dengan merampas kad pengenalan, kad penguasa kastam, dua kad bank, sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM200.

Bagi pertuduhan ketiga kedua-dua lelaki itu didakwa melakukan rompakan juga menggunakan parang terhadap Prescella Wada, 23, dengan mengambil kad pengenalan, tiga keping kad bank dan wang tunai RM500.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat, waktu dan tarikh sama iaitu pada 3.45 pagi, Stesen Minyak Petronas Jalan SS4B/10, Kelana Jaya, 23 September lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh kerana kesalahan itu serius manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 6 Disember untuk sebutan semula kes bagi Pirabagaran dan juga laporan akhlak bagi tertuduh berusia 17 tahun.

Pada 11 Oktober lalu, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan berhubung dua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kejadian samun yang tersebar di laman sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 5:02 PM