FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Sarah Zulkifli


SEPASANG kekasih mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini atas pertuduhan mencuri dompet milik seorang polis bantuan, awal bulan ini.

Tertuduh, Sakinah Saifuddin dan Muhamad Farid Mazuki yang masing-masing berumur 18 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Kedua-duanya tenang di dalam kandang tertuduh sepanjang prosiding itu.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 26 November depan sebagai tarikh jatuh hukum dan pendengaran fakta kes.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama telah mencuri dompet milik Muhamad Farid Abdol Hamid, 26, yang diletakkan di dalam raga motosikal dan mengandungi antaranya wang tunai bernilai RM262, kad pengenalan, kad kuasa polis bantuan dan kad bank.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya hendaklah dihukum penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Asyraf Asyh’ari Kamaruzaman menawarkan jaminan masing-masing sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan mereka menjaga ibu bapa yang sudah tua. Majistret Nurshahirah Abd Salim tidak membenarkan Muhamad Farid dijamin kerana tiada penjamin yang hadir, manakala Sakinah dibenarkan ikat jamin RM500 dengan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 2:32 PM