BTS
BTS
Agensi 

London: Kumpulan BTS dari Korea Selatan menang besar apabila membawa pulang empat trofi di kemuncak Anugerah Muzik Eropah MTV 2020 (MTV EMA 2020) yang berlangsung hari ini.

Empat anugerah dimenangi itu adalah Lagu Terbaik, Kumpulan Terbaik, Siaran Langsung Virtual Terbaik, dan Peminat Terbesar. Sekali gus, BTS terus unggul apabila menjadi pemenang terbesar untuk dua tahun berturut-turut.

Untuk kategori Kumpulan Terbaik, mereka menewaskan nama-nama besar lain termasuk BLACKPINK, CNCO, 5 Seconds of Summer, Little Mix, dan Chloe X Halle. Kemenangan Lagu Terbaik pula adalah menerusi Dynamite.

Disebabkan situasi pandemik sekarang, acara itu diadakan secara virtual pada tahun ini dan persembahan dipancarkan dari beberapa negara sekitar Eropah. Pada tahun lalu, ia diadakan di Sevilla, Sepanyol.

Tidak ketinggalan, Lady Gaga dinobatkan Artis Terbaik, manakala DJ Khaled untuk Video Terbaik menerusi lagu Popstar bersama Drake dan Justin Bieber. 

Tahun ini, kumpulan dari Britain iaitu Little Mix dilantik menjadi hos dan turut menghiburkan penonton menerusi persembahan lagu Sweet Melody.

Antara penghibur lain yang membuat persembahan adalah Alicia Keys, Sam Smith, DaBaby, Doja Cat, Yungblud, dan ramai lagi. Pelumba terkenal, Lewis Hamilton turut membuat penampilan pada acara itu.

MTV juga mengumumkan, acara terbabit pada edisi tahun depan bakal dilangsungkan di Hungary.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 4:28 PM