SWIFT menang kategori Video Format Panjang Terbaik menerusi lagu All Too Well yang berdurasi 10 minit. FOTO AFP
SWIFT menang kategori Video Format Panjang Terbaik menerusi lagu All Too Well yang berdurasi 10 minit. FOTO AFP
Agensi

Dusseldorf, Jerman: Taylor Swift mengungguli Anugerah Muzik Eropah MTV (EMAs) 2022 apabila menang empat trofi iaitu Artis Terbaik, Video Terbaik, Artis Pop Terbaik dan Video Format Panjang Terbaik dalam majlis yang berlangsung di sini, semalam.

Swift menang kategori Video Format Panjang Terbaik menerusi lagu All Too Well yang berdurasi 10 minit.

Ia kemenangan kedua Swift menerusi kategori itu selepas memang kategori sama tiga tahun lalu menerusi lagu Me!, kerjasamanya dengan Brendon Urie.

Dalam ucapannya ketika menerima anugerah kategori pertama, penyanyi lagu Bad Blood itu meluahkan penghargaan buat peminat yang sentiasa menyokong kerjayanya sejak dahulu.

"Peminat adalah sebab kepada kemenangan ini," katanya.

Selain itu, penyanyi hip hop terkemuka, Nicki Minaj turut mencuri tumpuan dengan kemenangan dua kategori iaitu Lagu Terbaik dan Lagu Hip Hop Terbaik.

Penyanyi digilai ramai, Harry Styles pula memenangi kategori Persembahan Secara Langsung Terbaik.

Bagaimanapun, Minaj dan Styles tidak hadir ke acara itu.

Dalam pada itu, kumpulan Muse tidak pulang dengan tangan kosong apabila berjaya merangkul kategori Artis Rock Terbaik.

Dalam pada itu, kumpulan K-pop terkenal, Blackpink melakar sejarah apabila memenangi Persembahan Metaverse Terbaik yang buat kali pertama diperkenalkan pada acara terbabit.

MTV EMAs 2022 turut menampilkan dua penyanyi terkemuka, Rita Ora dan Taika Waititi sebagai pengacara.

Acara gilang gemilang itu turut dimeriahkan dengan persembahan kumpulan Muse dan gabungan penyanyi David Guetta serta Bebe Rexha yang mempersembahkan lagu hits, I'm Good (Blue).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 2:50 PM