Manila: Sekumpulan lelaki bersenjata membunuh seorang wanita warga Jerman dan menculik suami mangsa yang sedang berlayar di perairan selatan Filipina, kata tentera semalam.

Jurucakap tentera, Filemon Tan berkata, mangsa yang maut akibat ditembak dikenali sebagai Sabine Merz manakala suaminya, Jurgen Kantner, 70, diculik.

Menurutnya, tentera menemui kapal layar mangsa dan mayat seorang wanita berkulit putih dengan kesan tembakan di dalamnya.

Kapal layar itu yang dinamakan Rockall ditemui hanyut berhampiran Pulau Laparan di Sulu, selatan Filipina kelmarin.

Kata Tan, seorang komander Abu Sayyaf yang terkenal kerana sering menculik warga asing bagi menuntut wang tebusan mengaku terbabit dalam insiden terbaru itu.

“Tentera sedang meneliti rakaman audio perbualan telefon komander itu yang mengaku menculik lelaki berkenaan.

“Pelayar warga Jerman itu juga bercakap melalui telefon dan memperkenalkan dirinya,” katanya.

Menurut AFP, pasangan berkenaan adalah mangsa yang sama diculik lanun Somalia di Teluk Aden pada 2008 dan dijadikan tahanan selama 52 hari.

Dalam satu wawancara pada 2009, Kantner berkata, walaupun diancam dibunuh tetapi kejadian itu tidak pernah memadamkan minat mereka untuk terus berlayar. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 11:33 AM