OZIL (kanan) cuba melepasi halangan Mousa Dembele.
OZIL (kanan) cuba melepasi halangan Mousa Dembele.

London: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger tidak percaya pasukan yang tidak bermain dalam Liga Juara-Juara mempunyai kelebihan pada Liga Perdana sekalipun Liverpool dan Chelsea mengatasi pasukannya.

Liverpool berada di puncak selepas membelasah Watford 6-1 dengan Chelsea satu mata di belakang selepas menang besar 5-0 ke atas Everton dan kedua-dua pasukan tidak terganggu dengan pertandingan Eropah.

Arsenal menghuni satu mata lagi di belakang di tangga keempat selepas seri 1-1 dengan Tottenham Hotspur kelmarin, susulan kepada kemenangan 3-2 ke atas kelab Bulgaria, Ludogorets Razgrad dalam Liga Juara-Juara di tempat lawan.

“Agak mudah untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi perlawanan kerana anda tidak berdepan tugasan Liga Juara-Juara, tapi jika anda tanya mereka (Liverpool dan Chelsea), kedua-duanya mahu beraksi di sana,” ujar Wenger.

“Jadi, anda tidak perlu merungut mengenainya. Ia mungkin ada kelebihan fizikal sedikit terutama selepas aksi Eropah, tapi kami perlu menanganinya.

“Ia bukannya alasan. Jika mereka di depan sekalipun, ia perbezaan yang kecil selepas 11 perlawanan. Ia amat sengit.”

Ketika Wenger tidak berasa komitmen Arsenal di Eropah agak membebankan pemainnya, beliau bagaimanapun tidak dapat menjelaskan kemerosotan tahap saingan menentang Tottenham.

Selepas permulaan memberangsangkan oleh Spurs, Arsenal menguasai dan mendahului pada minit ke-42 apabila Kevin Wimmer tertanduk masuk sepakan percuma Mesut Ozil ke gawang sendiri.

Namun, Harry Kane membalas menerusi sepakan penalti pada awal babak kedua selepas Laurent Koscielny mengasari Mousa Dembele dalam apa yang dianggap Wenger sebagai satu keputusan “kejam”. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 11:17 AM