Jakarta: Badan Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia di luar negara (BNP2TKI) mendesak polis menggempur sindiket penyeludupan manusia susulan tragedi bot karam yang menyebabkan 54 orang maut.

Setiausaha BNP2TKI, Hermono berkata, pekerja Indonesia yang maut dalam tragedi itu adalah mangsa sindiket penyeludupan manusia yang menghantar orang ramai bekerja secara haram di luar negara.

Katanya, agensi itu menubuhkan satu pasukan untuk memantau layanan terhadap mangsa bagi membuat siasatan lebih lanjut berkenaan tragedi itu.

“Menguatkuasakan undang-undang terhadap aktiviti penyeludupan manusia sangat penting sebagai langkah pencegahan,” katanya kepada Jakarta Post.

Dalam tragedi pada Rabu lalu, sebuah bot yang membawa 98 pendatang tanpa izin Indonesia dan tiga kru karam berhampiran pulau Batam.

Bot itu dipercayai dalam pelayaran dari Johor, Malaysia menuju ke Batam sebelum ia karam akibat dilanda ombak besar.

Seramai 54 orang terbunuh dalam tragedi itu. Dua belas mangsa yang maut sudah dikenal pasti dan diserah kepada waris untuk dikebumikan.

“Kami akan menanggung semua kos penghantaran balik mayat dan mangsa yang terselamat ke kampung halaman masing-masing,” jelasnya.

Sementara itu, pasukan mencari dan menyelamat memberitahu, enam mangsa yang dipercayai terbunuh dalam kejadian itu masih belum ditemui. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 11:02 AM