BOT Sea Conquerors yang ditahan pihak berkuasa Indonesia di Tanjung Pinang.  - Agensi
BOT Sea Conquerors yang ditahan pihak berkuasa Indonesia di Tanjung Pinang. - Agensi

Jakarta: Indonesia menggesa semua pihak supaya menghormati undang-undang yang ada berkait dengan kes perbicaraan mengenai penahanan bot Seven Sea Conquerors milik seorang warga Singapura di Mahkamah Daerah Tanjung Pinang, Batam.

Jurucakap Kementerian Luar, Arrmanatha Nasir berkata semalam, bot berkenaan terbabit dalam kegiatan haram di perairan Indonesia dan penahanan kapten serta anak kapalnya dilakukan di perairan Indonesia juga.

“Kes itu kini melalui proses undang-undang dan kami berharap semua pihak menghormati undang-undang yang diguna pakai di Indonesia dan mengikuti perkembangan proses undang-undang,” kata Arrmanatha kepada Jakarta Post.

Dia berkata demikian sebagai tindak balas terhadap bantahan Kementerian Luar Singapura Rabu lalu yang menggesa pembebasan serta-merta Kapten Ricky Tan dan bot itu.

Kementerian Luar Singapura juga menggesa supaya siasatan terhadap Ricky dihentikan.

Sembilan rakyat Singapura ditahan pada 20 Ogos lalu tetapi dibebaskan dua minggu kemudian. Tan dan bot itu bagaimanapun masih ditahan di Indonesia.

Arrmanatha berkata, kapal itu didakwa tidak mempunyai dokumen dan permit yang sah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2017 @ 7:09 AM