TANJUNG Balau, Kota Tinggi, Johor. FOTO BERNAMA
TANJUNG Balau, Kota Tinggi, Johor. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Jakarta: Usaha pengumpulan maklumat, pengawasan dan siasatan berterusan pihak berkuasa Indonesia membuahkan hasil apabila agensi keselamatan menahan beberapa lelaki tempatan yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan migran.

Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha agensi-agensi terbabit untuk menangani pemerdagangan orang membabitkan pekerja asing tanpa izin dari Indonesia ke Malaysia dan siasatan menyeluruh mereka terhadap insiden bot karam pada Disember lalu yang mengakibatkan 21 orang maut.

Polis Riau menahan tiga suspek termasuk pemilik bot, dikenali sebagai Susanto, selepas bot itu karam di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor, Malaysia.

Dua suspek dari Batam yang dipercayai orang tengah untuk merekrut warga tempatan ditahan pada 2 Januari, manakala Susanto ditahan di Tanjung Uban Bintan, Kepulauan Riau, menurut laporan media dalam talian.

Dalam tragedi bulan lalu, sebuah bot dipercayai membawa kira-kira 50 pendatang, terbalik di perairan Tanjung Balau, pada 4.30 pagi, ketika cuaca ribut.

Jumlah mangsa yang lemas dalam kejadian bot karam itu kekal 21 orang, dengan lebih 16 dikhuatiri masih hilang dan 13 berjaya diselamatkan.

Sembilan daripada yang terselamat adalah dari Lombok, dan masing-masing seorang dari Batam, Pekan Baru, Jember dan Tanjung Balai Karimun.

Tragedi itu mencetuskan kemarahan dan mengembalikan semula kenangan pahit beberapa insiden serupa sebelum ini.

Sementara itu, Agensi Penempatan dan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia mendedahkan individu yang mencari kerja di luar negara secara haram membayar sehingga 15 juta rupiah (RM4,400) kepada perekrut.

Ketua Jabatan Tenaga Kerja dan Transmigrasi Daerah Lombok Tengah, Lalu Karyawan menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap perekrut yang menawarkan pekerjaan di Malaysia.

Kerajaan tempatan masih belum menerima sebarang notis daripada kerajaan pusat berhubung penempatan pekerjaan di Malaysia sejak pandemik bermula, lapor Agensi Berita Indonesia, Antara.

Dalam kes terbaru Khamis lalu, pihak berkuasa menggagalkan percubaan menghantar 52 pendatang tanpa izin, terdiri daripada 34 lelaki, 17 wanita dan seorang kanak-kanak ke Malaysia.

Ketua Polis Asahan, Asisten Komisioner Putu Yudha Prawira berkata, pihak berkuasa menahan tekong bot tanpa nama yang mahu berlepas ke Malaysia pada 6 Januari, pada 8.30 malam, dari perairan Asahan, di Sumatera.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 3:19 PM