DUA PU yang mendapat markah terendah melalui segmen Medan Fikrah.
DUA PU yang mendapat markah terendah melalui segmen Medan Fikrah.
BARISAN sembilan peserta PU musim keempat.
BARISAN sembilan peserta PU musim keempat.
Sudirman Mohd Tahir


Mimbar Pencetus Ummah musim keempat (PU 4) yang mula bersiaran baru-baru ini di saluran Astro Oasis menyaksikan tiada penyingkiran.

Program yang memenangi kategori Program Agama Terbaik pada Anugerah Sri Angkasa 2016 ini menampilkan sembilan PU berentap menyampaikan tazkirah yang dipilih sendiri.

Juri tetap program berkenaan, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr Maza berkata, semua peserta memberi persembahan yang baik namun masih berada pada tahap biasa.

“Secara keseluruhan saya melihat kemampuan pada setiap peserta terutama kepetahan mereka menyampaikan tazkirah. Walaupun topik minggu ini adalah bebas berdasarkan pilihan mereka sendiri, tetapi saya mencari butiran idea yang benar-benar sesuai dengan tema PU musim ini.

“Bukan apa saya mahukan setiap isi tazkirah itu boleh mencetuskan idea kepada penonton dan masyarakat secara umumnya. Jadi pada minggu pertama ini saya melihat setiap PU perlu mempertingkatkan usaha mereka,” katanya.

Maza berkata, setiap PU perlu membuat kajian lebih bagi memantapkan isi tazkirah mereka pada minggu kedua ini.

“Kalau mereka buat kajian lebih, saya percaya tazkirah yang disampaikan pasti lebih baik. Jangan pentingkan unsur hiburan semata-semata sebaliknya isi kandungan topik itu memainkan peranan penting.

“Dengan cara itu penonton boleh melihat kredibiliti mereka yang ‘versatile’. Pada masa sama, menjadi seorang pendakwah ini perlu ada intelektual atau pengetahuan yang tinggi mengenai sesebuah topik. Pendek kata kemampuan itu yang kita cari,” katanya.

Pada minggu pertama Mimbar PU lalu, dua peserta yang mendapat markah terendah iaitu PU Latif dan PU Raihan perlu melalui pusingan Medan Fikrah bagi menentukan siapa antara mereka yang tersingkir.

Menerusi Medan Fikrah kedua-dua peserta perlu berbahas secara spontan selama satu minit menerusi topik yang diberikan.

Keputusan berdasarkan penilaian 100 peratus daripada juri profesional.

Bagi PU Latif atau nama sebenarnya Abdul Latif Yahaya, 31, dia menjadikan dua kedudukan terendah pada minggu lalu sebagai cabaran untuk memperbaiki mutu persembahan.

“Apabila menyertai program ini saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan. Malah, apabila diumumkan sebagai dua peserta yang mendapat markah terendah, saya reda. Bukan apa, saya sudah memberikan persembahan terbaik.

“Cuma dari segi isi tazkirah masih banyak yang perlu diperbaiki. Insya-Allah pada minggu kedua ini saya mahu lebih fokus dan memperbaiki setiap kelemahan,” katanya.

Latif yang juga Laskar Kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyifatkan semua peserta adalah terbaik berdasarkan mutu persembahan mereka.

Sementara itu, PU Raihan atau nama sebenarnya Raihan Husni, 26, berada di pusingan Medan Fikrah menyuntik semangatnya untuk lebih berusaha.

“Setiap peserta kalau boleh nak terus bersaing sehingga ke peringkat akhir begitu juga dengan saya. Cuma pada minggu pertama ini mungkin saya sedikit ketinggalan dengan mereka. Seperti yang juri perkatakan, saya perlu mantapkan isu tazkirah.

“Jadi sebagai persediaan minggu kedua ini, saya pertingkatkan lagi kajian. Pada masa sama, saya nak selitkan lagi elemen persembahan yang boleh membantu kepada isi tazkirah saya,” katanya.

Selain PU Latif dan PU Raihan, tujuh peserta lain yang bersaing pada PU 4 terdiri daripada PU Riz, PU Rozi, PU Akram, PU Fendi, PU Mizi, PU Zul dan PU Faris.

Program ini masih mengekalkan format pemarkahan yang sama iaitu 70 peratus daripada juri profesional dan 30 peratus undian penonton yang dibuat menerusi laman Facebook.

Selain Dr Maza selaku juri tetap, musim kali ini turut menampilkan personaliti popular Fara Fauzana, manakala pengacara bagi PU 4 pula ialah Faizal Ismail dan PU Azman.

Pencetus Ummah yang bertemakan Penyatuan Ummah Menerusi Dakwah ini bersiaran secara langsung dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pada setiap Khamis, jam 9 malam di saluran Astro Oasis (106) dan Maya HD (135).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2016 @ 5:03 AM