BARISAN peserta PU4
BARISAN peserta PU4
Nor Akmar Samudin


Seramai sembilan peserta akan beradu kebijaksanaan mereka di pentas Pencetus Ummah musim keempat (PU4) yang akan mula disiarkan di Astro Oasis dan serentak di Maya HD, pada 27 Oktober ini secara langsung daripada Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Bangi, Selangor.

PU4 juga menyaksikan pihak produksi hanya memilih sembilan peserta yang betul-betul menepati kehendak program itu dan juga tiada had umur.

Mereka yang bertuah kali ini ialah Muhammad Haris Mohd Ismail, 21, dari Selangor , Mohamad Faris Abu Bakar, 20, (Johor Bahru), Raihan Husni, 26 (Seremban, Negeri Sembilan), Muhammad Rozi Harun, 28, (Kelantan), Akram Ikrami Taib Azamudden, 27 (Kuala Lumpur), Mohd Affendi Mohamed Nor, 34, (Kelantan), Abdul Latif Yahaya, 31, (Kedah), Nor Hamizi Jamaluddin, 41, (Pahang) dan Zulkornain Md Rejab, 41, (Kedah).

PU4 kali ini bertemakan ‘Penyatuan’ bagi memberi peluang kepada peserta berusaha menggunakan pelbagai platform yang ada untuk membawa mesej Islam dalam dakwah untuk menyatukan umat Islam di mana saja mereka berada.

Pengurus Saluran Astro Oasis Ahmad Fuad Mat Ali berkata, program yang akan bersiaran secara langsung itu akan menampilkan sedikit kelainan dari segi format rancangan bagi meningkatkan kualiti persembahan serta keberkesanan penyampaian peserta untuk disajikan kepada penonton.

“Buat julung kali, PU4 akan memperkenalkan segmen perbahasan apabila dua peserta dengan harga markah terendah pada setiap episod akan berdebat serta menyuarakan pandangan masing-masing.

“Segmen perbahasan itu akan memperlihatkan kebijaksanan peserta melontarkan idea dalam berdiskusi mengenai sesuatu isu,” katanya.

Selain itu, peserta juga akan menjawab persoalan yang diberikan menerusi segmen Soal dan Jawab. Juri jemputan juga akan diberi peluang untuk menyampaikan tazkirah masing-masing dalam cara tersendiri agar peserta boleh menimba ilmu dan mempelajari pelbagai teknik serta cara berdakwah yang pelbagai.

PU4 akan dihoskan bekas peserta PU iaitu PU Azman dan pengacara popular, Faizal Ismail (FBI).

Penceramah terkenal, Datuk Ustaz Badli Shah Alauddin pula sebagai Mudir manakala pelakon terkenal, Fauziah Nawi selaku Guru Persembahan; pendakwah terkemuka, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali dengan nama Dr Maza selaku juri tetap di samping bekas penyampai radio popular, Fara Fauzana.

Selain itu, pelakon Anis Al Idrus akan mengemudikan program Serambi Pencetus Ummah yang akan memaparkan aktiviti serta proses pembelajaran dilalui peserta sepanjang mereka berada di Pencetus Ummah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 4:49 AM