Mohamed Farid Noh dan Omar Ahmad


PENDUDUK Kampung Parit Kudus di Pontian berganding bahu membersihkan parit utama yang tersumbat sehingga kawasan berkenaan ditenggelami air setinggi 0.5 meter, hari ini.

Tinjauan di kawasan berkenaan mendapati parit di kawasan itu dipenuhi rumput dan lalang selain sampah-sarap menyebabkan ia tidak dapat menampung aliran air akibat hujan lebat.

Penduduk terjejas, Mohd Shafik Ahmad, 34, berkata dia mengambil inisiatif membersihkan sendiri parit utama itu selepas rumahnya dan premis perniagaan penduduk kampung dinaiki air sejak pagi tadi.

Katanya, dia menggunakan jengkaut miliknya dan mula membersihkan lalang dan sampah-sarap dalam parit utama itu bagi membolehkan air mengalir dengan baik.

"Hujan lebat berpanjangan sejak pagi tadi menyebabkan air melimpah dari parit itu sebelum memasuki kediaman dan premis perniagaan penduduk di kawasan rendah.

"Ramai penduduk risau kerana kawasan ini tidak pernah dilanda banjir sebelum ini, namun bulan ini sahaja sudah tiga kali banjir berlaku dan kali ini paling teruk.

"Kami bersama-sama membersihkan parit berkenaan yang dipenuhi rumput, lalang dan sampah," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, penduduk Parit Kudus, Norzilah A Rashid, 45, berkata pihak berkaitan diminta menyelenggara parit utama berkenaan dengan lebih kerap bagi mengelakkan berlaku banjir kilat semula.

Keadaan Jalan Utama Parit Semerah - Parit Kudus yang ditenggelami air berikutan hujan lebat sejak awal pagi hari ini.FOTO OMAR AHMAD
Keadaan Jalan Utama Parit Semerah - Parit Kudus yang ditenggelami air berikutan hujan lebat sejak awal pagi hari ini.FOTO OMAR AHMAD

"Risau bila tengok air dari parit melimpah laju memenuhi perkarangan rumah pagi tadi kerana kita tidak membuat persediaan apa-apa.

"Namun, kami bersyukur kerana ada anak kampung yang prihatin membersihkan parit utama itu bagi membolehkan air tidak melimpah keluar sehingga menyebabkan banjir kilat," katanya.

Hari ini, Johor dilaporkan mengambil langkah berjaga-jaga berikutan hujan lebat melanda di kebanyakan kawasan sejak pagi tadi sekali gus meningkatkan kebimbangan berlaku banjir di kawasan rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 6:14 PM