YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengunjungi pusat pemindahan dan bertemu dengan mangsa banjir di SK Chegar Perah, Lipis. FOTO Roselan Malek
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengunjungi pusat pemindahan dan bertemu dengan mangsa banjir di SK Chegar Perah, Lipis. FOTO Roselan Malek
Roselan Ab Malek

SERAMAI 268 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Chegar Perah, Lipis, berikutan hujan lebat sejak malam tadi menyebabkan air Sungai Tanum melimpah dan berlaku banjir di kawasan berkenaan.

Banjir di kampung berkenaan mula berlaku sejak 10 malam berikutan hujan lebat di hulu sungai Tanum dan air mula melimpah ke kawasan penempatan penduduk.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Lipis, Kapten Mohd Nor Azhar Yusof berkata, mangsa dari 68 keluarga itu dipindahkan ke PPS secara berperingkat sejak 11 malam.

Beliau berkata, sebilangan besar mangsa dari Kampung Chegar Perah selain beberapa kampung berhampiran selepas air sungai melimpah ke kawasan rendah.

"Semalam, banjir kilat turut berlaku di kawasan Merapoh akibat hujan lebat dan pada 5 pagi, air melimpah masuk ke kawasan kediaman membabitkan 17 keluarga di Kampung Berhamah dan Teluk Gunung.

"Kawasan lain terbabit dengan banjir kilat itu termasuk kompleks pejabat, dewan pameran dan rumah pekerja Jabatan Perlindungan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Taman Negara Sungai Relau, Merapoh.

"Cuaca bertambah baik dan air banjir mulai surut hari ini dan jika tiada hujan, mangsa akan dibenarkan pulang hari ini untuk membersihkan kediaman masing masing," katanya.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengunjungi PPS dan bertemu dengan mangsa banjir terbabit, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, banjir dipercayai berpunca apabila air dari Sungai Berahmah, Teluk Gunung dan anak sungai tempat lain yang melimpah mengalir masuk ke sungai Tanum berdekatan kampung itu.

"Fenomena air sebak dari anak sungai berdekatan ditambah hujan lebat tidak berhenti-henti di hulu menyebabkan air sungai Tanum melimpah masuk ke kawasan kampung dan kediaman penduduk.

"Saya dimaklumkan ketua kampung mengenai kejadian ini malam tadi dan berterima kasih kepada semua pihak berkuasa yang memindahkan mangsa ke tempat selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 8:41 PM