KEADAAN paras air diberapa kawasan perparitan di Muar mulai surut hari ini. FOTO Essa Abu Yamin
KEADAAN paras air diberapa kawasan perparitan di Muar mulai surut hari ini. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin

"BANJIR kilat kali ini agak luar biasa kerana dalam tempoh beberapa minit sahaja, paras air sudah mencapai kira-kira 0.5 meter," kata Zehan Abdullah, 37, penduduk Kampung Parit Perupok di Muar, hari ini.

Zehan berkata, mereka sekeluarga panik selepas banjir mula melimpah ke dalam rumah.

"Rumah kami terletak berhampiran dengan parit, ia menyebabkan banjir melimpah ke dalam kediaman dengan cepat.

"Hujan lebat sejak awal pagi semalam selain sistem perparitan yang agak kecil menyebabkan paras air meningkat mendadak," katanya.

Bagaimanapun, Zehan bersyukur kerana banjir surut dalam tempoh kira-kira empat jam.

Menurut Zehan, pagi tadi, beberapa penduduk pulang ke rumah masing-masing daripada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk membersihkan kediaman.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Muar berkata, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Abong ditutup hari ini kerana kawasan yang terjejas sudah pulih.

"PPS di SMK Bandar Maharani, SMK Dato Sri Amar Diraja, SMK Tengku Mahkota, SMK Tun Dr Ismail, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Raya, SK Parit Keroma Darat, SK Ismail Satu, dan SK Parit Raja masih lagi beroperasi bagi menempatkan mangsa banjir.

"Banjir masih bertakung di beberapa kawasan rendah namun di sebahagian besar kawasan, banjir semakin pulih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 5:49 PM