Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan menyempurnakan Perasmian Bangunan Hospital KPJ Bandar Maharani di Jalan Stadium, Muar, Johor. FOTO Syarafiq Abd Samad
Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan menyempurnakan Perasmian Bangunan Hospital KPJ Bandar Maharani di Jalan Stadium, Muar, Johor. FOTO Syarafiq Abd Samad
Ibrahim Isa

Muar: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan majlis perasmian Hospital Pakar KPJ Bandar Maharani di sini, sebentar tadi.

Dalam ucapannya, baginda bertitah KPJ Healthcare Berhad (KPJ) berjaya meletakkan nama sebagai sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi kepada pelanggan.

"Buktinya kita dapat lihat pada hari ini apabila hospital KPJ menjadi mercu tanda di sesebuah bandar baru di seluruh negara.

"Ibarat sebuah bandar itu tidak lengkap infrastrukturnya sekiranya tiada hospital KPJ di kawasan itu.

"Rakyat Malaysia yakin dengan perkhidmatan ditawarkan semua hospital KPJ dan sedar betapa pentingnya untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan terbaik," titahnya.

Baginda bertitah, sebagai negeri membangun dan menuju ke arah negeri maju, sudah pasti kemudahan hospital pakar amat penting kepada penduduk.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Mohamed Aziz; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim; Pegawai Daerah Muar, Ramlee A Rahman dan Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 7:10 PM