Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mengaminkan doa dan tahlil ringkas selepas menjiruskan air mawar ke atas makam Almarhum Sultan Iskandar, di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah. Foto Mohd Azren Jamaluddin.
Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mengaminkan doa dan tahlil ringkas selepas menjiruskan air mawar ke atas makam Almarhum Sultan Iskandar, di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah. Foto Mohd Azren Jamaluddin.
Mohd Sabran Md Sani


TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan menziarahi Makam Diraja Bukit Mahmoodiah sempena Hari Hol, hari ini.

Tunku Ismail tiba pada 9.03 pagi disambut Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri Johor, Abd Mutalip Abd Rahim.

Turut hadir Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim; suami Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim, Dennis Muhammad Abdullah dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Tan Sri Mohamad Aziz; Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli; Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, wakil rakyat dan ahli parlimen, selain pegawai daerah, pegawai-pegawai kanan kerajaan, orang kenamaan dan Datuk Johor.

Tunku Ismail yang tiba bersalaman dengan Tunku Bendahara Johor, Tunku Abdul Majid Sultan Iskandar sebelum menyiram air mawar dan menabur bunga pada makam nendanya, Sultan Iskandar Sultan Ismail.

Baginda kemudian menziarahi pusara adindanya, Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim serta pusara kerabat Diraja Johor lain.

Mufti Johor, Datuk Tahrir Samsudin mengiringi bacaan doa pada setiap pusara yang diziarahi.

Terdahulu sebaik majlis bacaan doa selesai pada 9.21 pagi, Tunku Ismail meninggalkan perkarangan makam diraja pada jam 9.24 pagi menaiki kenderaan rasmi TMJ.

Sementara itu, pada malam tadi, Tunku Ismail turut hadir majlis tahlil yang diadakan di Masjid Pasir Pelanggi di sini, sempena Hari Hol.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 10:42 AM