Aizat Sharif


WALAUPUN usianya hanya lapan tahun, itu bukanlah penghalang bagi penyokong cilik Kedah, Syasya Amani Qistina Shahrizan mempamerkan semangatnya.

Dia menzahirkannya dengan memalu dram untuk Kelab Penyokong Kedah Red Eagle Crew sebagai sokongan buat skuad Kedah menghadapi akhir Piala Malaysia, di Shah Alam, pada Ahad, 30 Oktober.

Syasya yang ditemani bapanya, Shahrizan Abd Manap, 36, dari Pokok Sena, Kedah dilihat begitu ligat memukul dram kelab diiringi sorakan semangat anggota kelab penyokong sementara menantikan bas rombongan kelab penyokong itu bertolak ke Shah Alam, malam tadi.

Shahrizan berkata, anaknya itu mula bermain dram sejak mengikutinya bersama anggota Red Eagle Crew menyaksikan perlawanan Liga Super antara Kedah dengan JDT, tahun lalu.

"Syasya tidaklah belajar secara formal bermain dram tetapi dia menguasai cara brmain dram itu selepas melihat paluan gendang dan juga pukulan dram yang dimainkan anggota kelab kami serta kelab penyokong negeri lain pada setiap perlawanan bola sepakmembabitkan Kedah.

"Malah, anak saya ini kemudian mempraktikan irama paluan gendang serta pukulan dram yang didengarnya itu dengan menggunakan sudu plastik dan juga bekas makanan di rumah," katanya ditemui di perkarangan Stadium Darul Aman, sebelum bertolak ke Shah Alam.

Selepas dia memperlihatkan bakatnya bermain dram itu, Syasya yang juga murid Tahun Dua di Sekolah Kebangsaan Telaga Emas, Pokok Sena kemudian sering dibawa oleh ayahnya yang juga Timbalan Presiden kelab penyokong itu menyaksikan perlawanan di stadium.

"Isteri saya pun adakalanya memarahi Syasya kerana menyebabkan sudu dan bekas makanan di rumah kami pecah kerana sering diketuk oleh anak saya itu.

"Namun, disebabkan minat yang mendalam dalam bermain dram itu, isteri saya pun tidak menghalang selepas itu," katanya lagi.

Selain aktif dalam memberi sokongan kepada skuad Lang Merah, Syasya yang juga anak kedua dari tiga adik beradik yang berusia antara enam hingga 14 tahun turut aktif dalam bidang sukan termasuk mewakili sekolahnya dalam sukan futsal.

Sementara itu, 120 anggota Kelab Penyokong Kedah Red Eagle Crew bertolak ke Stadium Shah Alam, menggunakan tiga bas pada jam 12.30 tengah malam.

Presidennya, Shafik Saroni, 24 berkata dua bas rombongan ini memulakan perjalanan dari Stadium Darul Aman sebelum disertai oleh sebuah lagi bas yang membawa anggota kelab berkenaan di Sungai Petani.

"Tiga bas rombongan yang membawa anggota kelab ini adalah antara 369 bas penyokong Kedah pelbagai kumpulan yang akan bersama-sama berkumpul di Stadium Shah Alam.

“Kami berharap agar perjalanan ini akan dapat membawa kemenangan yang dinantikan oleh kami setelah tewas dalam perhitungan pada tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 1:20 AM
SHAHRIZAN Abd Manap mendukung anaknya, Syasya Amani Qistina, 8, memalu gendang dengan iringi lagu semangat Lang Merah oleh ahli Kelab Red Eagle Crew di Stadium Darul Aman sebelum bertolak ke Stadium Shah Alam. FOTO Amran Hamid
SHAHRIZAN Abd Manap mendukung anaknya, Syasya Amani Qistina, 8, memalu gendang dengan iringi lagu semangat Lang Merah oleh ahli Kelab Red Eagle Crew di Stadium Darul Aman sebelum bertolak ke Stadium Shah Alam. FOTO Amran Hamid