Shamsul Munir Safini


Georgetown: Budak lelaki yang dilarikan individu tidak dikenali ketika diberi tumpang motosikalnya, di sini, 11.30 pagi semalam, ditemui di Taiping, pada 6.30 petang ini.

Sebelum dilarikan, mangsa, 11, yang belajar di Sekolah Asrama Tahfiz, Seberang Jaya, bersama bapanya menaiki motosikal dari Seberang Jaya menuju ke Sungai Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata tayar motosikal mereka kempis sebaik berada di atas Jambatan Pulau Pinang.

Katanya, kemudian datang lelaki berusia 50-an menghulur bantuan untuk menumpangkan budak itu membonceng motosikalnya.

"Bapa budak itu pula mengekorinya. Lelaki itu masih bersama ayah budak itu apabila dia hendak mengisi angin tayar motosikalnya di stesen minyak di Jalan Udini.

“Bagaimanapun, tayar masih kempis. Oleh itu, mereka meneruskan perjalanan.

“Tapi, kemudiannya suspek didapati seolah-olah tidak lagi menunggu bapa budak itu yang mengekori mereka dan hilang daripada pandangannya,” katanya.

Berikutan itu, katanya, satu laporan polis dibuat di IPDTL, semalam, sebelum mangsa ditemui di perhentian bas di Taiping, Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2016 @ 10:40 PM