RATUSAN penduduk berarak untuk melahirkan rasa simpati dengan mangsa rogol yang dibunuh. FOTO/AFP
RATUSAN penduduk berarak untuk melahirkan rasa simpati dengan mangsa rogol yang dibunuh. FOTO/AFP
AFP

HYDERABAD: Ratusan penduduk mengepung sebuah balai polis di Hyderabad hari ini selepas empat suspek kes rogol dan bunuh ditahan.

Kejadian seorang doktor veterinar berusia 27 tahun dirogol sekumpulan lelaki sebelum dibunuh dan mayatnya dibakar pada Rabu laly mencetuskan kemarahan orang ramai.

Polis bersenjatakan cota cuba menghalang penduduk dari memasuki bangunan dan terpaksa mendapatkan bantuan tambahan untuk meningkatkan keselamatan di balai polis berkenaan.

Suspek sudah dibicarakan di hadapan majistret pada hari ini.

Mangsa diculik selepas meninggalkan motosikalnya berhampiran pondok tol sebuah lebuh raya.

Sebelum itu, empat suspek terbabit pancit tayar kenderaan itu dan berpura-pura mahu membantu mangsa yang kembali mengambil motosikalnya.

Polis berkata, mayat mangsa dibalut dengan permaidani sebelum dibakar hingga rentung.

Pembunuhan kejam itu mencetuskan kemarahan netizen yang menuntut pihak berkuasa memberi hukuman berat.

Berdasarkan data kerajaan India, lebih 32,000 kes rogol dilaporkan pada 2017, namun pakar berkata terdapat banyak kes tidak dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 November 2019 @ 11:16 PM