Shamsul Munir Safini


Bukit Mertajam: Lima lelaki termasuk seorang warga asing berusia 21 hingga 36 tahun diberkas polis bersama kereta dan tiga motosikal curi di Taman Cendana, di sini, awal pagi ini.

Dalam serbuan dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPDSPT) itu, polis turut merampas 30 bungkusan air ketum di rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata lokasi berkenaan juga dipercayai dijadikan tempat menjual air ketum yang sudah diproses.

Beliau berkata, seorang daripada suspek adalah mekanik dan hasil pemeriksaan di rumahnya polis menjumpai tiga motosikal curi.

Selain itu, katanya, dalam serbuan itu juga polis menemui semula Honda Civic yang dilaporkan hilang tahun ini.

Nik Ros Azhan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 9:46 AM