BIRI-biri turut diternak untuk tujuan pembiakan.
BIRI-biri turut diternak untuk tujuan pembiakan.
TERNAKAN secara fidlot dalam keadaan sihat dan aktif.
TERNAKAN secara fidlot dalam keadaan sihat dan aktif.
PEKERJA, Ahmad Sabri Abdul Razak menyambut kelahiran anak kambing.
PEKERJA, Ahmad Sabri Abdul Razak menyambut kelahiran anak kambing.
AMINUL Fikri mula dengan modal RM7,000 beli 13 kambing ketika semester akhir.
AMINUL Fikri mula dengan modal RM7,000 beli 13 kambing ketika semester akhir.

Ketika rakan lain sibuk menelaah pelajaran bagi menghadapi peperiksaan semester akhir, Aminul Fikri Jalalin terpaksa berulang-alik dari Pekan, Pahang ke kampusnya di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, kerana terpaksa menguruskan ternakan kambing yang baru dimulakannya.

Bagaimanapun, cabaran yang terpaksa dihadapinya tahun lalu itu kini berbayar apabila beliau muncul penternak berjaya.

Malah, dia tidak pernah menyesal memilih menjadi penternak kambing meskipun memiliki segulung ijazah.

Ini kerana pemegang Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Tani itu sudah ada pengalaman dalam bidang itu sejak remaja.

Mewarisi ilmu penternakan daripada datuknya, Zakaria@Daud Mohamad, 86, yang menternak lembu, Mohd Aminul Fikri bagaimanapun memilih kambing kerana lebih mudah dijaga.

Perumpamaan ‘alah bisa tegal biasa’ sentiasa terpahat di hatinya dan menjadi pembakar semangat untuknya mempertahankan kerjaya itu walau sesibuk mana pun dengan tugasan di kampus.

Ditanya mengenai cabaran dalam perniagaannya yang bermula ketika di semester akhir, Mohd Aminul Fikri berkata, komitmen sebagai pelajar menyebabkan dia berdepan kekangan masa untuk mengimbangi pelajaran dan perniagaan.

“Jarak lokasi penternakan di Pekan dengan UPM turut menuntut perbelanjaan agak besar, namun berbaloi apabila mendapat maklum balas positif dan kepuasan pelanggan.

“Dalam tempoh enam bulan kehidupan saya ‘tunggang terbalik’. Setiap minggu saya berulang-alik antara universiti dengan kampung menguruskan ternakan.

“Malah, ada ketika terpaksa tinggalkan kelas dan lupakan tugasan kuliah selama beberapa hari,” katanya ketika ditemui di ladang ternakan Haji Jalalin Agrofarm di Kampung Penadah, Pekan, Pahang, baru-baru ini.

Menurutnya, idea mengusahakan ternakan itu bermula daripada minatnya menjual susu kambing segar di pekan sehari dan sekitar kampus, malah turut mempromosi di laman sosial Facebook bagi mencari ‘duit poket’ sepanjang tempoh pengajian.

“Walaupun pada peringkat awal ibu dan ayah tidak berapa setuju dengan hasrat saya menternak kambing kerana masih belajar, mereka akhirnya akur malah saya sudah membuktikan dengan menggenggam segulung ijazah, awal tahun ini,” katanya.

Mohd Aminul Fikri memulakan perniagaan menggunakan duit simpanan hasil jualan susu kambing selain bantuan bapanya, Jalalin Isa, 54, sebanyak RM7,000 untuk membeli 13 kambing ketika berada di semester akhir, tahun lalu.

“Fokus saya ialah ternak dan jual. Asal ada orang datang nak beli, saya jual terus tanpa bertangguh. Wang yang diperoleh dikumpul untuk beli kambing baru,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Norazira Najwa Shamsudin, 23, sejak dua tahun lalu.

Mohd Aminul Fikri juga tidak berhadapan masalah dari segi pasaran kerana syarikatnya menyediakan perkhidmatan sembelihan, memproses daging, jualan kambing, akikah, korban, kenduri, tujuan baka selain sedekah atau infaq ke rumah anak yatim dan pusat tahfiz.

Walaupun enggan menyatakan keuntungan yang diperoleh, Mohd Aminul Fikri mampu tersenyum lebar dengan jualan kambingnya kini mencecah 200 ekor setiap bulan dengan harga antara RM700 hingga RM900 seekor. Jumlah itu meningkat ketika musim perayaan terutama ketika Hari Raya Haji.

Selain kambing, Mohd Amirul Fikri juga menternak 50 biri-biri baka dorper, damara, black belly dan barbados dari Australia untuk tujuan pembiakan di Kampung Ketapang Tengah yang diusahakan bersama rakannya Anuar Othman.

Katanya, ternakannya diberi makanan daripada sumber hutan, pelepah sawit dan rumput napier selain dedak sebagai makanan tambahan.

“Rutin makanan seperti kebanyakan ternakan lain tiga kali sehari iaitu dedak sebagai sarapan pagi sebelum diberi makan pelepah sawit atau sumber hutan lain pada kira-kira jam 11 pagi di kandang. Pada sebelah petang sekali lagi kambing diberi makan dedak dan pelepah sawit.

“Kambing juga dilepaskan pada tengah hari untuk berjemur dan meragut dengan bebas. Tetapi kalau ‘malas’, kambing akan bergerak ke kandang sendiri tanpa paksaan,” kata bekas pelajar Kolej Matrikulasi Mara, Kuala Nerang, Kedah itu.

Menurutnya, tidak sukar mengenal pasti kambing sihat atau berpenyakit.

“Kambing akan aktif dan agak agresif jika sihat tapi jika sebaliknya, muka kambing akan kelihatan pucat, tidak bermaya, kerap ‘termenung’, ‘menyendiri’ dan ia boleh dikenali menerusi simptom mata berair dan bertahi, cirit serta najis berlendir.

“Jika itu berlaku, saya akan memeriksa serta melakukan rawatan awal dan memaklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk mengenal pasti punca penyakit,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdullah, Pekan, ini.

Walaupun masih kedengaran kata-kata sindiran mengenai kerjayanya sebagai penternak kambing sekalipun bergelar graduan, Mohd Aminul Fikri mempunyai pandangan peribadi tersendiri.

“Biarlah apa orang nak kata. Tidak semestinya belajar sampai universiti mesti pegang pen dan kertas, duduk dalam bilik berhawa dingin sahaja. Dalam dunia hari ini, kita perlu ubah persepsi negatif ini.

“Ketika rakan lain sibuk dengan tugasan kuliah atau aktiviti riadah sebelah petang dan hujung minggu, saya pula sibuk menjual susu kambing segar. Tetapi pengalaman itulah yang membawa seribu rahmat kepada saya hari ini tanpa perlu memikirkan soal mencari kerja lagi,” katanya.

Mohd Aminul Fikri menasihatkan mereka yang berhasrat menceburi bidang penternakan supaya tidak ragu-ragu untuk bertindak dan sentiasa bersedia mengharungi cabaran.

“Kita jangan mudah mengalah dengan persekitaran yang secara tidak langsung boleh memberi tekanan sehingga mematahkan semangat untuk memajukan diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 5:04 AM