PIHAK Syabas membuat benteng untuk menyekat pengaliran Sungai Buah ke Sungai Semenyih. FOTO Ashraf Sawal
PIHAK Syabas membuat benteng untuk menyekat pengaliran Sungai Buah ke Sungai Semenyih. FOTO Ashraf Sawal
Syazwan Msar


Bangi: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang ditutup sejak semalam hingga menyebabkan ratusan ribu pengguna terjejas sudah mula beroperasi awal pagi tadi.

Namun, kerajaan negeri dan pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) tidak dapat memberi jaminan bekalan air boleh pulih sepenuhnya dalam masa terdekat ini.

Malah, Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali berkata, masalah bekalan air di Selangor hanya akan pulih apabila pihak berkaitan segera menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam menangani isu terbabit.

"Setakat ini, pihak Syabas melakukan penjadualan semula sistem pengagihan air kepada penduduk yang terjejas akibat penutupan LRA Sungai Semenyih itu.

"Penutupan loji berkenaan dipercayai akibat pencemaran di Nilai, Negeri Sembilan apabila bahan tercemar itu mengalir ke Sungai Buah seterusnya bercampur pula dengan Sungai Semenyih sekali gus menyebabkan LRA Sungai Semenyih ditutup, katanya, ketika ditemui, di sini, hari ini.

Sebelum ini, penduduk di sekitar Hulu Langat, Kuala Langat,Sepang dan Petaling membabitkan 360,000 pemegang akaun menghadapi masalah bekalan air akibat penutupan LRA Sungai Semenyih semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 5:59 PM