WIJNALDUM (dua dari kiri) jaring gol pada awal perlawanan.
WIJNALDUM (dua dari kiri) jaring gol pada awal perlawanan.
AFP

Liverpool: Tandukan awal Georginio Wijnaldum memberikan Liverpool kemenangan 1-0 pada Malam Tahun Baharu ke atas Manchester City yang menyebabkan anak buah Pep Guardiola ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris Chelsea.

Pemain tengah Belanda itu menjaringkan gol pada minit ke-8, menyambut hantaran Adam Lallana, bagi membolehkan Liverpool kembali ke tangga kedua dan merapatkan jurang dengan Chelsea kepada enam mata.

Ia kemenangan keempat berturut-turut skuad kendalian Jurgen Klopp yang dilihat berpeluang cerah mengejar Chelsea pada separuh kedua musim ini, apatah lagi tanpa gangguan aksi di pentas Eropah.

“Mereka mencipta pencapaian hebat,” kata Klopp mengenai Chelsea.

“Tiga belas kemenangan setakat ini, boleh tahan!

“Namun bolehkah anda bayangkan betapa ia menyakitkan hati apabila menang 13 perlawanan berturut-turut tapi diekori satu pasukan dengan perbezaan enam mata?

Kata beliau: “Ia hasil kerja keras malam ini tapi tidak memberi sesuatu yang berbeza seperti diharapkan.”

Liverpool menamatkan aksi tahun lalu dengan 43 mata, kutipan terbanyak diraih mereka selepas separuh jalan kempen Liga Perdana.

Biarpun mempamerkan aksi lebih kemas pada separuh masa kedua di Anfield, pengurus City, Guardiola perlu mengatur strategi baru selepas tiga kemenangan mereka sebelum ini berakhir.

“Kami tahu sejarah Manchester City di Anfield. Kami bermain baik tapi seperti juga perlawanan lain, setiap kali tiba di kawasan penalti, mereka menjaringkan gol.

“Apabila anda ketinggalan 10 mata, sudah tiba masanya anda tumpukan kepada perlawanan berikutnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2017 @ 8:15 AM