Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Bermula dengan hanya menyertai pertandingan melukis logo di sekolah ketika berusia 15 tahun, siapa sangka kini seorang pemuda menjadikan seni mural sebagai kerjaya.

Mohamad Sayuti Rosli, 33, cekap melukis serta mewarnakan dinding yang asalnya kosong kepada sebuah lukisan mural yang bukan sahaja sedap mata memandang malah sarat dengan mesejnya yang tersendiri.

Dia yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Halus daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, berkata bakatnya dalam bidang lukisan bermula sejak daripada kecil lagi, tidak mahu kemahiran disia-siakan, dia terus kekal berkecimpung dalam dunia seni sehingga hari ini.

"Khidmat seni mural oleh saya bukan sahaja mendapat permintaan daripada individu persendirian tetapi juga badan kerajaan dan swasta, contohnya untuk melukis mural di bangunan pejabat, sekolah atau di dinding rumah bergantung atas permintaan.

"Saya mengambil upah serendah RM500 sehingga RM160,000 mengikut kepada jenis dan saiz mural selain mengambil kita bajet pelanggan. Ia bukan suatu kerja yang mudah, selain memerlukan kemahiran saya juga harus tahu 'menghidupkan' sesuatu lukisan terbabit.

"Biasanya, jika mural membabitkan sebuah lukisan yang besar, saya turut dibantu oleh beberapa rakan termasuk yang mahir membuat lukisan grafiti (tulisan)," katanya ketika ditemui sedang menyiapkan lukisan mural bertemakan petugas barisan hadapan sempena pendemik Covid-19 di Jalan Temenggung, di sini, semalam.

Mohamad Sayuti yang juga pengurus Tangan Emas Studio, berkata selain kemahiran melukis, dia juga perlu pandai mengenakan cat atau warna supaya hasilnya dilihat 'segar' dan 'hidup' walaupun hanya diabadikan pada dinding lama.

Dia turut berkongsi projek mural terbaru yang diusahakannya di bawah kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, (MOTAC), Balai Seni Negara dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI).

"Bagi projek mural kali ini, saya rasa lebih bersemangat untuk menyiapkannya kerana saya perlu mengabdikan beberapa petugas barisan hadapan yang menjadi wira sepanjang negara berhadapan pendemik Covid-19.

"Ini adalah suatu penghargaan buat saya, dan semestinya saya bersama beberapa rakan lain memberi komitmen terbaik agar hasilnya pada dinding lama ini bukan sahaja memukau pengunjung yang melihatnya tetapi sebagai tanda menghargai kesemua wira negara ini.

"Kami mengambil masa selama dua minggu untuk menyiapkan mural sebesar 216 meter persegi ini dan ia hampir siap dalam masa terdekat walaupun berhadapan cabaran kerana cuaca yang tidak menentu," katanya.

Tambahnya, dia berasa puas selepas melihat hasil mural yang mendapat pujian orang ramai namun pernah beberapa kali berhadapan dengan golongan vandalisme yang merosakkan hasil tangannya itu.

MOHAMAD Sayuti Rosli bersama rakannya menyiapkan mural. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
MOHAMAD Sayuti Rosli bersama rakannya menyiapkan mural. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 10:44 AM