ANAK monyet yang dirampas oleh PERHILITAN. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ANAK monyet yang dirampas oleh PERHILITAN. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Tiga puluh dua hidupan terancam daripada 19 spesis dengan nilai rampasan kira-kira RM500,000 dirampas menerusi Ops Taring IV dalam serbuan di Selangor, Kelantan dan Kedah. semalam

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, operasi berkenaan dibuat hasil daripada pemantauan aktiviti penjualan hidupan liar atas talian dan risikan dijalankan di lapangan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

“Susulan itu, lima individu termasuk seorang wanita ditahan serta disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan hukuman denda tertinggi boleh dikenakan membabitkan pemilikan anak harimau belang di bawah Seksyen 69(2).

"Apabila disabitkan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM150,000 dan tidak lebih daripada RM500,000 dan dengan penjara selama tidak lebih lima tahun," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Antara haiwan yang dirampas semalam ialah anak harimau belang, tupai kerawak, burung lang merah, pelanduk, burung hantu, binturong dan tupai gading.

Rampasan berkenaan dibuat di premis kediaman dan premis kediaman di Hulu Langat, Selangor; Wakaf Che Yeh, Kelantan serta Kupang, Kedah.

Selain itu, Wan Junaidi berkata, Jabatan PERHILITAN turut menahan seorang lelaki warga India di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 9 malam disyaki menyeludup bahagian hidupan liar dipercayai harimau belang diletakkab dalam enam bungkusan plastik.

Katanya, mereka yang ditahan bagi semua kes berkenaan berusia antara 38 hingga 50 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 8:16 PM