Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Polis merampas bangkai dua harimau spesis belang dan kumbang serta 10 gading gajah dianggarkan bernilai RM500,000 yang cuba dijual untuk pasaran gelap.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, rampasan berkenaan dilakukan dalam Op Khazanah di sebuah stor di Kampung Bukit Tok Che Dol, Tanah Merah pada 7.40 pagi tadi selepas pemerhatian dibuat pegawai serta anggota dari Cawangan Operasi Khas (D8) dan Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan.

Katanya, dalam serbuan yang dilakukan itu, seorang lelaki berusia 25 tahun yang mendalangi sindiket pemburuan haram sejak lebih setahun lalu berjaya ditangkap.

"Selepas menunggu selama empat jam ketika pemeriksaan dilakukan sepasukan anggota polis yang memulakan tinjauan seawal 3 pagi tadi, didapati sebuah kereta Toyota Hilux bernombor pendaftaran Thailand menuju ke sebuah stor.

"Suspek kemudian membuka pintu stor dan terus masuk ke dalam dan anggota yang membuat pemeriksaan menjumpai bangkai harimau belang serta harimau kumbang yang tersimpan di dalam peti sejuk beku tanpa organ dan juga kemaluan," katanya dalam sidang media di IPK Kelantan, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan Adnan Ismail.

Beliau berkata, Katanya, berdasarkan siasatan awal, kesemua rampasan itu tersimpan sejak April lalu dan masih belum terjual sepenuhnya lagi.

Katanya, pemburu haram terbabit dipercayai mendalangi sindiket membabitkan pemburu dan penyimpan, selain pembeli membabitkan orang yang berbeza.

"Mengikut Jabatan Jabatan Perhilitan Kelantan, dipercayai pemburu haram ini menggunakan jerat dawai besi untuk menangkap haiwan ini sehingga tercedera sebelum ditembak mati.

"Kami menganggarkan usia kedua-dua haiwan ini lebih daripada 10 tahun dan ia adalah spesis yang dilindungi," katanya.

Shafien berkata, berdasarkan pasaran gelap, harga bagi seekor harimau belang adalah RM300,000 dan RM100,000 untuk harimau kumbang manakala sebatang gading gajah pula dianggarkan bernilai RM10,000 bergantung kepada saiz dan timbangan berat.

SHAFIEN (dua kiri) bersama Adnan (kanan) menunjukkan harimau belang dan harimau serta gading gajah yang dirampas.  FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SHAFIEN (dua kiri) bersama Adnan (kanan) menunjukkan harimau belang dan harimau serta gading gajah yang dirampas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Kami percaya bangkai ini dijual untuk pasaran gelap termasuk pasaran tempatan dan juga antarabangsa.

"Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 68(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar dan jika sabit kesalahan didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

"Manakala bagi Seksyen 68(2)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716) jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak lebih daripada RM500,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun," katanya.

Katanya, kesemua rampasan itu diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Kelantan untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 7:29 PM