FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Hafizee Mohd Arop


ENAM belas pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Perak didapati terbabit dalam penyalahgunaan dadah sepanjang ‘Op Blue Devil’ dijalankan bermula Ogos lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya sudah mendakwa enam daripada mereka, manakala selebihnya masih dalam siasatan dan menunggu untuk dituduh di mahkamah.

Menurutnya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak melancarkan ‘Op Blue Devil’ pada Ogos lalu dan sudah memeriksa seramai 431 pegawai serta anggota.

“Tindakan berterusan akan terus diambil dengan melakukan ujian saringan air kencing terhadap pegawai atau anggota yang disyaki terbabit dan tindakan ini bagi membersihkan kontinjen dari aktiviti ini.

“Penyelia kepada pegawai dan anggota akan bertindak untuk mengenal pasti mereka di bawah seliannya sekiranya ada terbabit dalam penyalahgunaan dadah sebelum melakukan ujian saringan air kencing,” katanya.

Razarudin berkata demikian pada sidang media Program Pelupusan Barang Kes Dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di IPK Perak di Ipoh, hari ini.

Sebanyak 251 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah dan 880 liter pelbagai jenis cecair disyaki dadah bernilai hampir RM717,047 akan dibawa ke Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Kualiti Alam Sdn Bhd di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan, untuk dilupuskan.

Antara dadah yang akan dilupuskan adalah heroin, ganja, syabu, ketamin, ekstasi, daun ketum, cecair ketum dan cecair bahan kimia membabitkan sebanyak 3,096 kes yang selesai perbicaraan bagi tahun 2000 hingga 2019.

Sementara itu, mengulas mengenai statistik kes dadah di negeri itu bagi tahun ini, Razarudin berkata, sejak Januari hingga bulan lalu, pihaknya sudah merampas sebanyak 97 kg pelbagai jenis dadah bernilai RM7 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 10:59 AM