Taiping: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM2,444,152 yang dirampas di antara 2000 hingga 2014, membabitkan 4,706 kes.

Timbalan Pengarah (Pelucuthakan Harta/Perundangan Tahanan) JSJN Bukit Aman, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata pelupusan dilaksanakan serentak di Perak, Pulau Pinang dan Sarawak.

Pelupusan di negeri ini dilakukan di Edgenta Mediserve Sdn Bhd, Kamunting, hari ini.

Beliau berkata di Perak, ia membabitkan nilai RM1.8 juta dadah, RM627,137 di Pulau Pinang dan RM17,015 di Sarawak.

Sementara itu, Mohd Dzuraidi berkata 76,874 individu ditahan atas pelbagai kesalahan narkotik bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.

“Jumlah tangkapan ini menurun sebanyak tiga peratus berbanding tangkapan 79,103 orang bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Namun tangkapan di bawah kategori bekalan meningkat 16 peratus manakala bagi kategori memiliki dadah meningkat sebanyak 12 peratus,” katanya.

Beliau berkata, 17 makmal haram memproses dadah dibongkar bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 8:42 PM